PN: Amalkan sikap adab berjemaah bukan pertelagahan - Nurul

PN: Amalkan sikap adab berjemaah bukan pertelagahan – Nurul

PPR Lembah Subang 1
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu mengamalkan sikap adab berjemaah iaitu mengutamakan penyelesaian berbanding pertelagahan dalam pertembungan dengan rakan parti komponen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, cabaran yang dihadapi dalam PN seharusnya menjadi iktibar untuk menguatkan lagi saf perjuangan bukan sebaliknya medan untuk meluah ego atau menuding jari.

Beliau dalam kenyataannya berkata, ketegangan yang berlaku sehingga menyebabkan beberapa pemimpin utama mengeluarkan kenyataan dan meletakkan jawatan boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan penyokong serta rakyat.

“Kita semua harus sentiasa ingat bahawa perjuangan ini bukan untuk kepentingan kita atau parti politik semata-mata. Perjuangan ini adalah amanah untuk masa depan generasi akan datang serta membela nasib rakyat yang mengharapkan kestabilan, keadilan dan kepimpinan yang matang. Jangan sesekali kita hilang fokus terhadap tujuan besar itu.

“Kita wajar menyerahkan urusan hala tuju serta keputusan strategik kepada kepimpinan tertinggi parti dan Majlis Pimpinan Tertinggi PN. Institusi itulah yang diberi amanah untuk memimpin, menilai dan menentukan arah perjuangan kita dengan penuh pertimbangan dan hikmah,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Dewan Pemuda Pas Selangor menggesa Pas pusat memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyarankan pembentukan gabungan baharu khususnya dengan UMNO.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, gabungan baharu perlu dibentuk sama ada membina semula Muafakat Nasional (MN) menjadi MN 2.0 atau dengan nama lain bagi memastikan kepentingan rakyat khususnya Melayu dan Islam.

Namun, sebelum itu, Pemuda PN dalam kenyataannya menegaskan keputusan atas nama PN mestilah dirujuk, dibincang dan diputuskan dalam majlis tertinggi PN, selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN.

Katanya, keputusan yang dibuat atas nama PN bukan hak mutlak bagi mana-mana parti komponen secara unilateral.

Nurul Syazwani yang juga Ketua Penerangan Srikandi Bersatu menjelaskan, kesemua pimpinan dan anggota parti komponen perlu melihat proses kematangan politik dengan menyifatkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai berjiwa besar apabila melakukan pengorbanan demi kelangsungan perjuangan dan masa depan PN.

“Sebagai kepemimpinan muda, kita seharusnya mengambil iktibar dan teladan daripada pengalaman serta kebijaksanaan pemimpin-pemimpin yang lebih lama dalam perjuangan. Mereka melalui pelbagai fasa cabaran, dan sikap berjiwa besar itulah yang perlu kita warisi, bukan berpecah, tetapi memperkukuh kesatuan.

“Bak kata pepatah, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Kita mesti kembali bersatu hati, memperkukuh muafakat, dan memastikan PN terus menjadi wadah harapan rakyat Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN