PETALING JAYA: PKR sedang mengumpul pandangan dan dapatan berhubung prestasi parti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, proses itu akan diteruskan untuk tindakan susulan diteliti pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan datang.
“Mesyuarat Khas MPP PKR telah membincangkan dapatan awal bedah siasat PRN Sabah termasuk isu-isu yang berkait prestasi kerusi-kerusi yang ditandingi PKR dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRN Sabah menyaksikan PH hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh ADUN PKR Melalap, Datuk Jamawi Jaafar.
Terdahulu, MPP PKR telah mengadakan mesyuarat khas di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, mesyuarat juga telah menerima taklimat ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR berhubung beberapa tindakan ekonomi terkini.
Katanya, ia termasuk kenaikan had ambang e-invois dan lebihan cukai yang perlu dibayar balik lebih pantas.-UTUSAN









