BATU KAWAN : “Sebenarnya, saya sudah tiga kali turun berat badan. Paling banyak turun ialah 37 kilogram (kg). Tapi (berat) itu naik balik sebab kurang disiplin. InsyaAllah, kali ini saya akan cuba kekalkan (berat) demi tugas saya sebagai anggota bomba.”
Itu kata Mohd. Irfan Joshalik @ Abdul Kholik, 29, pemenang utama program Intervensi Pengurusan Berat Badan (IFitEr) Wellness Hub anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan negeri melalui Wellness Hub Seberang Perai Tengah.
Mohd. Irfan yang berjaya menurunkan berat sebanyak 22.2 kg iaitu daripada 93 kg kepada 70.8 kg hanya dalam tempoh empat bulan selepas menyertai program itu berkata, dia cuba memotivasikan dirinya sendiri dan menjadi lebih berdisiplin kali ini termasuk bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan sukan.
Anak kelahiran Kota Belud, Sabah yang bertugas di Balai Bomba Paya Terubong itu berkata, apabila memiliki berat badan yang ideal, dia lebih bersemangat dan berstamina untuk bertugas ketika ini.
“Sekarang, saya betul-betul jaga disiplin terutamanya dari segi pemakanan kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.
“Alhamdulillah, ia berkesan setakat ini dan saya berharap agar kejayaan saya ini akan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain terutamanya yang berkhidmat dalam pasukan penyelamat untuk menjadi lebih ‘fit’ ketika bertugas,” katanya semasa ditemui pada majlis penutup program itu di sini, hari ini.
Terdahulu, hadiah bagi program tersebut disampaikan oleh Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin. Hadir sama Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah.
Mohamad Shoki dalam ucapannya memberitahu, sebanyak 81.4 peratus daripada keseluruhan 43 anggota bomba Pulau Pinang yang mengikuti program tersebut berjaya menurunkan berat badan mereka sekali gus mencapai sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 80 peratus.
“Secara keseluruhannya, JBPM Pulau Pinang berpuas hati dengan pencapaian anggota bomba dalam program ini dan untuk tahun depan, kita berharap agar lebih ramai peserta akan terlibat,” ujar beliau.
Program IFitEr membabitkan kerjasama antara JBPM Pulau Pinang serta Jabatan Kesihatan negeri yang memasuki edisi kedua itu melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama antara 26 Jun hingga 25 September dan Fasa Kedua (25 September hingga 4 Disember) dengan menerapkan modul latihan berintensiti tinggi.









