BATU KAWAN : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menjangka menerima kenaikan jumlah panggilan berhubung kes bencana alam yang berlaku sepanjang fenomena Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun ini.
Pengarahnya, Mohamad Shoki Hamzah berkata, jangkaan awal itu dibuat selepas pihaknya menerima statistik terkini berhubung kes berkenaan yang bermula sejak awal bulan lepas sehingga semalam.
Menurut beliau, berdasarkan statistik tersebut, sebanyak 11 panggilan kes diterima melibatkan kejadian banjir, lima panggilan bagi kes tanah runtuh dan 41 kes melibatkan pokok tumbang.
“Angka ini kemungkinan melebihi penerimaan kes tahun lepas dengan jangkaan sebanyak 18 peratus kenaikan (jumlah panggilan) berbanding ketika fenomena Monsun Timur Laut pada tahun 2024.
“(Ini) satu pemerhatian lonjakan yang jelas sekali gus menunjukkan keperluan (pihak bomba) untuk melakukan kesiapsiagaan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan sempena musim Monsun Timur Laut yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’Ng Mooi Lye di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shoki berkata, ketika ini, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 53 lokasi hotspot banjir dan enam lokasi hotspot tanah runtuh di seluruh negeri dengan tumpuan utama diberi kepada tiga daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT), Barat Daya, dan Timur Laut.
“Saya yakin bahawa JBPM Pulau Pinang telah bersedia sepenuhnya (untuk menghadapi gelombang kedua) kerana kita memiliki kekuatan seramai 1,699 pegawai dan anggota termasuk pegawai bomba bantuan serta pegawai bomba sukarela yang mampu untuk digerakkan pada bila-bila masa sahaja.
“Kita juga mempunyai barisan sokongan taktikal lengkap yang terdiri daripada 39 anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA), 96 anggota unit EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan), 55 anggota Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya), 27 anggota Storm (Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia) selain dilengkapi 36 unit ‘water tender’ dan 33 unit bot aluminium,” katanya.-UTUSAN










