Perkhidmatan 20 Lipan Bara diteruskan

Perkhidmatan 20 Lipan Bara diteruskan

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan 20 kenderaan berperisai Lipan Bara Tentera Darat Malaysia (TDM) keluaran Chaiseri masih diteruskan untuk latihan dan operasi.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, 14 kenderaan ditempatkan di Kota Belud, Sabah manakala enam lagi berada di Pusat Latihan Armor (Pulamor) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Semua kenderaan masih beroperasi dan terus menyokong keperluan operasi semasa,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan kepada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkenaan perkhidmatan 20 Lipan Bara dengan mengambil kira pemerolehan terkini kenderaan 4×4 Tarantula keluaran syarikat tempatan, Mildef.

Mengenai perolehan Tarantula, Adly berkata Kementerian Pertahanan merancang untuk memperoleh 136 unit bagi memenuhi keperluan operasi TDM.

Beliau menambah bahawa perolehan itu bertujuan meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Darat selaras dengan keperluan pertahanan negara.

Sementara itu, sebagai menjawab soalan daripada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai semakan terhadap kilang pemasangan helikopter AW149 Leonardo di Melaka, Adly berkata kementerian tidak terlibat dalam proses pembinaan fasiliti baharu di Melaka.

Ini kerana projek itu merupakan kerjasama sektor swasta dengan kerajaan negeri.

Adly berkata projek itu adalah hasil perbincangan tiga pihak melibatkan kerajaan Melaka, pembuat helikopter Itali, Leonardo, dan syarikat tempatan Aviation Sdn. Bhd.

Beliau berkata kilang itu berkaitan dengan perjanjian untuk menyewa 28 helikopter bagi agensi kerajaan, di mana syarikat yang terlibat perlu membangunkan fasiliti pemasangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN