PETALING JAYA: Pengecualian tarif yang lebih luas dan hubungan dagangan yang lebih kukuh dengan Amerika Syarikat (AS) menjadikan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi menjelang 2026, kata CGS International.
Firma pelaburan itu berkata, pihaknya kekal optimis terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026 dengan menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.6 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi dari unjuran rasmi kerajaan sebanyak 4.0 hingga 4.5 peratus
Katanya, peningkatan unjuran disokong oleh pengurangan ketegangan perdagangan dengan AS selepas Hari Pembebasan, selain Malaysia telah diberikan status ‘Aligned Partner’ oleh AS pada Oktober 2025, yang memberikan pengecualian tambahan terhadap tarif timbal balik.
“Bagi kebanyakan negara, tarif timbal balik AS yang dimuktamadkan adalah lebih rendah daripada cadangan awal. Bagi Malaysia, kadar tarif berkurangan daripada 24 peratus kepada 19 peratus, menjadikannya setara dengan rakan ASEAN lain.
“Berdasarkan pengiraan kami, ini meningkatkan jumlah pengecualian Malaysia daripada tarif timbal balik AS daripada 46.5 peratus peratus kepada 62.8 peratus iaitu antara yang tertinggi dalam ASEAN.
“Oleh itu, kami menganggarkan bahawa pengecualian ini menurunkan bahagian eksport Malaysia ke AS yang terdedah kepada tarif timbal balik daripada 12.4 peratus daripada KDNK 2024 kepada 4.6 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, CGS International berkata, pelonggaran kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka terus memberi sokongan kepada ringgit serta pasaran saham Malaysia pada 2026.
Tambahnya, Fed menyambung pemotongan kadar dana persekutuan (FFR) pada September dan Oktober 2025, walaupun terdapat kemungkinan penangguhan pada Disember akibat ketiadaan data terkini.
“Seiring dengan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2026, pengecilan beza antara FFR dan OPR dijangka menjadi pemangkin positif bagi mata wang tempatan serta pasaran saham.
“Kesan ini timbul daripada dua faktor utama iaitu kira-kira 85 peratus syarikat dalam liputan kami mempunyai keuntungan yang bergantung kepada permintaan domestik iaitu kos import juga wujud dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) biasanya mencatat prestasi baik semasa ringgit mengukuh.
“Selain itu, pengecilan perbezaan kadar faedah turut dilihat memberi impak positif kepada pasaran saham Malaysia, memandangkan terdapat korelasi songsang sebanyak -40 peratus antara FBM KLCI dan beza FFR-OPR,” ujarnya. – UTUSAN










