PETALING JAYA: Kenyataan awam yang dilihat sengaja mendedahkan maklumat atau sejarah peribadi dan keluarga, memberi gambaran buruk tentang saksi atau menimbulkan prasangka terhadap individu berkait kes sewaktu proses siasatan sedang berjalan berpotensi menatijahkan gambaran salah dan kesimpulan yang pramatang.
Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan mereka susulan pendedahan terbaharu oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengenai insiden tembak mati tiga penjenayah di Durian Tunggal, Melaka.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berasa kurang selesa berkait pendedahan mengenai perkara-perkara yang disiasat oleh Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman.
Beliau berkata, profesionalisme, ketelusan dan kesahihan prosedur polis hendaklah dipatuhi pada setiap masa serta berkaitan semua kes.
“Keadaan sedemikian sama ada secara sengaja atau tidak boleh mempengaruhi sentimen awam, sekali gus melemahkan integriti proses siasatan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Semalam, Dzulkhairi mendedahkan, salah seorang wanita yang menuntut siasatan terhadap tiga penjenayah ditembak mati di Durian Tunggal dengan mendakwa kononnya dia ialah isteri salah seorang si mati, sebenarnya hanyalah kekasih dan mempunyai 10 rekod jenayah termasuk kesalahan cubaan membunuh.
Dzulkhairi berkata, wanita berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang hubungan perkahwinan, sebaliknya hanya tinggal bersama sebagai pasangan kekasih sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Takiyuddin berkata, pendedahan maklumat peribadi tertentu atau mengenai anggota keluarga boleh dilihat sebagai percubaan untuk membentuk naratif awam lebih awal sebelum Pasukan Khas Bukit Aman melengkapkan tugas mereka.
“Insiden kehilangan nyawa semasa operasi polis adalah isu serius yang menuntut ketelusan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan tahap akauntabiliti tertinggi.
“Semua dapatan hendaklah berpandukan fakta, proses sah dan standard profesionalisme yang tidak diragui, selain bebas daripada bias atau maklumat yang berpilih-pilih, bagi memastikan kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara,” katanya.-UTUSAN











