Pegawai ATM diingat terokai ilmu baharu pertahanan

Pegawai tentera diingat terokai ilmu baharu pertahanan

MOHAMED Khaled Nordin ketika Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) bagi sesi 2025 di PUSPAHANAS, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pegawai tentera diingatkan sentiasa melengkapkan diri dengan budaya pembelajaran berterusan kerana ilmu pertahanan tidak pernah berhenti berkembang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penerokaan ilmu itu tidak hanya di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) sahaja, sebaliknya boleh diperoleh di mana sahaja di dunia.

“Setiap pegawai tentera tidak kira daripada cabang darat, udara dan laut. Anda bukan hanya dilatih sekadar untuk menjadi askar atau pengusung senjata sebaliknya dilatih menjadi pemimpin.

“Kepimpinan ialah tunjang profesion ketenteraan. Ia menuntut kejelasan arah, kesatuan usaha, serta keberanian membuat keputusan tegas walaupun sering kali di bawah tekanan yang amat tinggi.

“Dalam suasana yang kacau-bilau sama ada di medan perang, misi kemanusiaan dan operasi bantuan bencana. Setiap pemimpin yang berkesan mampu menentukan hasil sesuatu keadaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) bagi sesi 2025 di PUSPAHANAS, hari ini.

Katanya, ancaman terhadap keamanan hari ini bukan hanya peperangan konvensional sebaliknya merangkumi bencana iklim, pandemik, penularan maklumat palsu, krisis kemanusiaan dan risiko rentas sempadan yang kompleks.

Terdahulu, Mohamed Khaled berkesempatan meraikan seramai 270 penuntut yang bergraduasi bagi ketiga-tiga maktab selepas menamatkan pengajian di PUSPAHANAS terdiri daripada pegawai ATM daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk pegawai angkatan tentera negara asing.

Selain itu, turut serta dalam majlis graduasi tersebut ialah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) daripada kementerian dan agensi kerajaan iaitu Kementerian Pertahanan (MINDEF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN