Budaya kebal punca rasuah dalam ATM

Budaya kebal punca rasuah dalam ATM

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa berpunca daripada budaya kebal dan kuasa yang terlalu lama tidak dicabar, sekali gus mewujudkan ancaman senyap terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu rasuah dalam ATM tidak boleh dilihat sebagai kes terpencil, sebaliknya berpunca daripada kegagalan membudayakan ketelusan dan akauntabiliti dalam hierarki kuasa.

Beliau menyokong pendirian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menganggap rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM sebagai ancaman keselamatan negara kerana ia melemahkan keupayaan institusi pertahanan dari dalam.

“Negara perlu jujur mengakui bahawa punca sebenar masalah bukan kekurangan undang-undang, tetapi budaya kuasa yang terlalu lama tidak ditegur dan tidak dicabar.

“ATM tidak akan rosak kerana dikritik, sebaliknya akan lebih berisiko jika budaya takut bersuara dan kepatuhan membuta tuli terus dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mahfuz berkata, tindakan menghukum individu yang terlibat dalam rasuah adalah perlu, namun langkah itu sahaja tidak mencukupi untuk membendung masalah secara menyeluruh.

Katanya, tanpa reformasi budaya dan sistemik, krisis integriti dalam ATM akan terus berulang dengan bentuk dan pelaku yang berbeza.

Sehubungan itu, Mahfuz mencadangkan agar doktrin keberanian moral dijadikan prinsip rasmi dalam ATM bagi memastikan kepimpinan berani menegur dan menolak salah guna kuasa.

Beliau turut menggesa penubuhan Ombudsman Tentera yang bebas di bawah Parlimen sebagai mekanisme semak dan imbang yang tidak terikat kepada struktur dalaman ATM.

“Perlindungan penuh kepada pemberi maklumat perlu dijamin supaya salah laku dapat didedahkan tanpa tekanan atau ancaman terhadap kerjaya dan keselamatan anggota.

“Membela ATM bukan bermaksud menutup kesalahan, sebaliknya memastikan institusi pertahanan negara itu kekal bersih, dihormati dan berdaulat demi keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×