Pasaran saham tempatan didominasi GLIC jejas minat pelabur?

Pasaran saham tempatan didominasi GLIC jejas minat pelabur?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend pengurangan pegangan asing yang berlarutan lebih sedekad kini menjadikan pasaran ekuiti Malaysia semakin didominasi oleh dana-dana pelaburan kerajaan (GLIC).

Ini berdasarkan data CGS International yang menunjukkan pegangan asing di Bursa Malaysia berada dalam aliran menurun selama lebih daripada satu dekad, dengan aliran keluar asing sehingga RM90.8 bilion dalam tempoh tersebut.

Pegangan asing di pasaran saham tempatan merosot daripada paras tertinggi 25.2 peratus pada Mei 2013 kepada sekitar 19 peratus pada November 2025, selepas jatuh ke rekod terendah 18.7 peratus pada akhir suku ketiga tahun ini.

Sepanjang tahun ini, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih dalam ekuiti Malaysia, dengan jumlah setakat ini pada -RM20.3 bilion, aliran keluar terbesar sejak wabak Covid-19 pada 2020 (-RM24.6 bilion).

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, fenomena ini telah berlaku secara konsisten sejak beberapa tahun lalu dan kini memberi kesan langsung kepada kedudukan Malaysia dalam indeks global serta minat pelabur antarabangsa.

“Dominasi GLIC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah dan Tabung Haji menyebabkan pasaran saham kita dianggap terlalu dikawal kerajaan.

“Dengan lebih 40 peratus pegangan pasaran berada dalam tangan institusi berkaitan kerajaan, pelabur luar melihat Malaysia sebagai pasaran yang kurang bebas.

“Sentimen ini seterusnya mewujudkan persepsi pasaran Malaysia tidak setanding negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia, yang giat membangunkan pasaran modal lebih terbuka serta lebih dalam bagi menarik dana global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang dan prestasi indeks Bursa Malaysia mendorong pelabur asing memilih pasaran lain, terutama di Asia Utara dan Amerika Syarikat.

“Malaysia adalah ekonomi yang sangat terbuka, pelabur asing boleh masuk dan keluar dengan cepat. Ini menjadikan pasaran kita mudah terdedah kepada aliran keluar modal secara tiba-tiba.”

Beliau menjelaskan bahawa hal ini menyebabkan pelabur tempatan sering merasa tertekan, kerana sebarang keputusan pelabur asing untuk keluar boleh menolak harga saham jatuh dengan pantas.

“Kita lihat Indeks Komposit bergerak dalam lingkungan 1,570 hingga 1,630 untuk tempoh yang lama. Mengikut kitaran ekonomi, ia sepatutnya sudah menghampiri 1,700, tetapi ia tidak berlaku kerana tekanan aliran keluar dan minat yang lemah,” katanya.

Menurut Barjoyai, risiko jangka panjang adalah jelas pasaran Malaysia akan kekal cetek, tidak menarik dan tidak kompetitif.

Malah, jelasnya, negara jiran semakin agresif menarik pelabur luar, sementara Malaysia secara tidak langsung mewujudkan pasaran yang lebih tertutup.

“Kita ada strategi untuk menarik pelabur asing, tetapi banyak yang tidak berjaya. Pasaran kita perlu menjadi lebih mendalam lebih banyak kecairan dan lebih banyak transaksi. Kita mesti menunjukkan kesungguhan sebenar untuk membuka ruang kepada pelabur global.”

Bagaimanapun, beliau mengakui langkah kerajaan membenarkan GLIC besar seperti KWSP dan PNB meningkatkan pelaburan luar negara adalah positif kerana ia dapat mewujudkan ruang kepada kemasukan pelabur asing ke dalam pasaran tempatan.

“Namun, selagi pasaran tempatan tidak dinamik dan tidak cukup menarik, Malaysia akan terus ketinggalan dalam persaingan modal global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN