MARANG: Sebanyak 44 individu termasuk dua etnik Rohingya dan 19 remaja bawah umur diberkas polis kerana merempit dan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman awam dalam operasi di Kampung Gong Kekabu, Bukit Payung, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu menyasarkan lokasi mat rempit berkenaan berkumpul iaitu Jalan Kampung Gong Kekabu – Taman Safiah Murni, berhampiran Kampung Gong Kekabu.
Katanya, operasi itu dilakukan ekoran rungutan penduduk berhubung kelakuan kumpulan mat rempit berkenaan yang gemar berkumpul dan membuat bising terutama pada waktu malam serta awal pagi.
“Serbuan menahan 44 individu terdiri 19 remaja berusia antara 14 tahun hingga 17 tahun. Selain itu, 25 lelaki dewasa termasuk dua warga asing etnik Rohingya berumur antara 18 tahun dan 41 tahun turut diberkas,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Sofian berkata, operasi sama turut menyita 38 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian kenderaan itu dikesan mengubah suai ekzos kepada paip yang dipercayai punca bunyi bising rungutan penduduk setempat.
“Sebanyak 152 notis saman trafik atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Semua suspek dibawa ke Balai Polis Bukit Payung untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










