
IPOH: Kerja-kerja menaik taraf struktur ban di sepanjang garis pantai daerah Bagan Datuk diberi keutamaan bagi memastikan ketahanan dan keselamatan kawasan itu terus terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerja-kerja menaik taraf struktur ban yang berisiko mendap dan terhakis itu dilaksanakan di bawah Perancangan Perolehan Kerja 2026 melalui peruntukan belanja mengurus kerajaan negeri.
“Bagi jajaran struktur ban di kawasan Muara Sungai Perak, surat setuju terima telah dianugerahkan kepada kontraktor yang berjaya bagi Projek Pemuliharaan Sungai Perak sepanjang tiga kilometer dari Teluk Penikam ke Muara Sungai Perak.
“Tarikh Mula projek adalah 26 November 2025 dan dijangka siap pada 26 November 2029 dengan kos projek RM49.739 juta,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 di sini semalam.
Kata beliau, bagi pengukuhan jajaran ban pantai di Sungai Tiang Selatan, peruntukan Persekutuan berjumlah RM13,142,350 telah diluluskan bagi melaksanakan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Sungai Tiang Selatan, Mukim Rungkup, Daerah Bagan Datuk.
Katanya, projek itu dalam pelaksanaan dengan pembinaan menaiktaraf ban pantai sepanjang 2,770 meter dan dijangka siap pada 30 Jun 2027.
“Bagi jajaran di Sungai Tiang Utara, peruntukan Persekutuan sebanyak RM10 juta diluluskan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi laksana Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Sungai Tiang Utara, Mukim Rungkup, Daerah Bagan Datuk,” katanya. – UTUSAN











