MIDF, IACSA perkukuh pembiayaan harta intelek - Utusan Malaysia

MIDF, IACSA perkukuh pembiayaan harta intelek

TAN Sri Abdul Rahman Mamat (kiri), Pengerusi MIDF Berhad bersama Ketua Bahagian Pembiayaan Pembangunan, MIDF Berhad, Azizi Mustafa (dua kiri) dan Presiden dan Presiden Pengasas IACSA, Prof Patricia Chung (dua kanan) pada majlis pemeteraian kerjasama strategik antara MIDF Berhad dan IACSA di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Berhad memeterai kerjasama strategik dengan Intangible Assets Commercialisation & Strategy Association (IACSA) bagi memperkukuh penilaian dan pembiayaan harta intelek (IP) di Malaysia, sejajar usaha negara beralih ke arah ekonomi berteraskan inovasi dan aset tidak ketara.

Kerjasama itu dimeterai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) semasa IACSA Roundtable on IP Valuation & Finance, yang bertujuan membangunkan kaedah penilaian dan pembiayaan IP yang lebih teratur, diyakini serta mampan.

Melalui MoU berkenaan, IACSA akan berperanan sebagai platform neutral yang menghimpunkan pemegang taruh merangkumi industri, akademia, pengamal penilaian, pembuat dasar, pelabur serta rangkaian antarabangsa. 

MIDF pula akan memperkukuh dan memperluas inisiatif pembiayaan berasaskan IP selaras dengan mandat pembangunannya.

Pengerusi MIDF Berhad, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen institusi berkenaan untuk melangkaui model pembiayaan tradisional dengan membina ekosistem yang membolehkan harta intelek dinilai dan dibiayai secara bertanggungjawab.

“Melalui kerjasama dengan IACSA sebagai platform neutral, Malaysia berpotensi muncul sebagai hab serantau bagi pengkomersialan IP, dengan inovasi disokong oleh tadbir urus kukuh serta rangka kerja penilaian yang diyakini,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut beliau, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembangunan rangka kerja penilaian dan pembiayaan IP yang lebih mantap, mempertingkat keyakinan pasaran serta pengurusan risiko bagi pinjaman berasaskan IP, selain mempromosikan model pembiayaan baharu yang membolehkan aset tidak ketara diiktiraf sebagai nilai ekonomi yang boleh dibiayai.

Kerjasama strategik itu dijangka meningkatkan daya saing Malaysia dalam landskap IP global dengan memacu pertumbuhan berasaskan inovasi dalam industri utama, di samping memperkukuh kerjasama serantau dan ASEAN dalam amalan penilaian serta pembiayaan IP.

Susulan pemeteraian MoU berkenaan, MIDF dan IACSA akan menubuhkan kumpulan kerja khusus bagi melaksanakan strategi yang dipersetujui, membangunkan dasar serta model pembiayaan yang praktikal, selain menyokong usaha harmonisasi IP di peringkat ASEAN.

Dalam jangka panjang, kerjasama itu menyasarkan pembinaan ekonomi IP yang mampan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pengkomersialan aset tidak ketara, memastikan idea, inovasi dan modal intelek dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN