MHO dedah Taiwan destinasi baharu sindiket kerja

MHO dedah Taiwan destinasi baharu sindiket kerja

HISHAMUDDIN Hashim (lima dari kiri) dan Andrew Foo bersama waris mangsa pemerdagangan manusia di Taiwan dan Kemboja di Pejabat MHO, Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/NUR FATEHAH ROSNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taiwan kini menjadi destinasi terbaharu jerat sindiket pemerdagangan manusia, sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya kes dari negara itu dibawa secara rasmi oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Taiwan merupakan kes pertama memandangkan perhatian sebelum ini hanya tertumpu kepada zon hitam di Kemboja, Laos dan Myanmar.

“Ini adalah kes pertama melibatkan negara Taiwan yang kami bawa secara rasmi. Kebiasaannya ia melibatkan negara Kemboja, Laos dan Myanmar.

“Jangan mudah tertipu dengan tawaran kerja di Taiwan. Pilihlah betul-betul,” katanya dalam sidang akhbar lima keluarga yang meminta bantuan selepas anak-anak mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Taiwan dan Kemboja, di sini hari ini.

Dalam pada itu, waris kepada mangsa berumur 19 tahun, Celine berkata, adiknya telah dijatuhkan hukuman penjara hampir 25 tahun di Taiwan selepas dipaksa menjadi ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan di negara berkenaan.

“Kami sudah cuba bayar pampasan kepada mangsa-mangsa (penipuan ATM) di sana atas nasihat peguam.

“Peguam kata kalau bayar balik duit mangsa, boleh kurangkan hukuman. Kami sudah bayar hampir RM80,000, tetapi keputusan tetap sama, 25 tahun,” katanya.

Hishamuddin berkata, dokumen laporan perubatan mengesahkan mangsa telah diseksa, dipukul dengan kayu dan getah sebelum dia ditangkap oleh pihak berkuasa Taiwan.

Menurutnya, remaja berkenaan melakukan jenayah itu di bawah ancaman dan paksaan fizikal, sekali gus memohon pertimbangan Wisma Putra untuk membantu urusan rayuan di mahkamah Taiwan.

Sementara itu, mangsa-mangsa di Kemboja kini bukan sahaja ditahan, malah diseksa dengan renjatan elektrik dan tidak diberi makan sekiranya gagal memenuhi kuota penipuan.

Ibu kepada salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Oo berkata, anaknya yang berusia 18 tahun kini diseksa di Trapeang, sempadan Vietnam-Kemboja.

Menurutnya, anaknya merayu diselamatkan selepas berulang kali dikenakan renjatan elektrik dan dibiarkan kelaparan selama empat hari berturut-turut oleh ahli sindiket yang tidak berperikemanusiaan.

MHO kini sedang mengkoordinasikan maklumat mangsa untuk diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri Kemboja serta polis bagi melancarkan misi menyelamat dalam masa terdekat.

“Bagi kes Kemboja, kita akan berkoordinasi dengan Encik Azirul Syafiq (wakil misi menyelamat), Polis Kemboja, dan Kementerian Dalam Negeri Kemboja untuk mengesan lokasi mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN