Menteri: Amanah bukan sesempit Pas

Menteri: Amanah bukan sesempit Pas

Dr Zulkifli Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak berfikiran sempit seperti Pas yang hanya memfokuskan tentang isu pelantikan Menteri atau Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pengarah Sumber Manusia Amanah, Suhaizan Kaiat berkata, fungsi mana-mana pemimpin parti tidak terhad kepada sesebuah kementerian semata-mata.

“Tidak semestinya hanya menjadi Menteri (Hal Ehwal Agama), baru Amanah boleh berfungsi. Di kementerian lain pun boleh bertungsi. Amanah bukan sesempit Pas yang hanya mahu fokus Menteri (Hal Ehwal Agama) semata-mata.

“Pemimpin Amanah sudah diberi tugas dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Ke­sihatan. Dua kementerian yang besar. Di samping tugas (timbalan Menteri) di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Saya kira sudah memadai pada waktu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Timbalan Presi­den Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengiktiraf peranan tokoh agama apabila tiada wakil Amanah dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Katanya, keputusan itu me­nimbulkan tanda tanya memandangkan Amanah men­dakwa memiliki ramai tokoh agama yang berpengalaman serta berkelayakan untuk meme­gang portfolio berkenaan, namun langsung tidak diberi tempat.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd. Sany Hamzan berkata, kritikan berterusan daripada Pas sebenarnya dilihat lebih bertujuan menutup perpecahan dalaman yang semakin ketara dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk percanggahan pendirian antara parti-parti komponennya.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan mereka ketandusan isu untuk menyerang Kerajaan Perpaduan yang kini berfungsi secara kolektif dan stabil.

“Sebagai contoh di Sabah baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan daripada Pas, tidak akan bersama Kerajaan Negeri Sabah kerana tidak menyokong kepemimpinan Ke­tua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Namun, pada keesokan harinya, Pas mengeluarkan ke­nyataan yang bercanggah dengan pendirian tersebut.

“Keadaan ini jelas memperlihatkan perpecahan dan ketidaksefahaman yang semakin ketara dalam PN. Hakikatnya, mereka sudah ketandusan isu untuk menyerang Kerajaan Madani, lalu cuba mengalihkan perhatian dengan memainkan isu-isu lain,” katanya.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata, Amanah tidak berasa tergugat dengan kepelbagaian latar belakang dalam Kabinet, termasuk pelantikan tokoh profesional dan bukan ahli politik.

Jelasnya, pelantikan itu adalah prerogatif Perdana Menteri dan mencerminkan pendekatan Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan ahli politik serta pakar dalam satu pasukan bagi memperkukuh tadbir urus, ekonomi dan pembangunan negara secara menyeluruh.

“Pelantikan Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan agenda sedia ada, khususnya selepas Dr. Zulkifli Hasan sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN