BUTTERWORTH : Pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan kini hampir dimuktamadkan.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, ketika ini, persiapan terakhir sedang giat dijalankan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Kita telah berunding dengan kepimpinan PH dan Barisan Nasional (BN), selain menjalin kerjasama dengan rakan-rakan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Semua pembahagian kerusi hampir selesai dan senarai calon sedang dimuktamadkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Pelancaran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Pangkalan Udara Butterworth di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, Amanah akan mempertaruhkan beberapa calon yang akan diumumkan tidak lama lagi tanpa mendedahkan bilangan kerusi yang akan ditandingi.
“Yang pasti, kita akan terlibat dalam PRN kali ini. Calon yang akan dipertaruhkan juga adalah calon tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad memaklumkan bahawa parti itu menyasarkan untuk bertanding sehingga tiga kerusi pada PRN Sabah.
Bagaimanapun, difahamkan, jumlah sebenar kerusi tersebut masih dalam proses rundingan pada ketika ini.
“Rundingan belum selesai. Kita tidak ada banyak kerusi di Sabah. Paling banyak pun tiga, kalau tidak dua, minimum satu. Amanah bukan parti yang besar di sana (Sabah),” kata Khalid yang memberitahu, rundingan tersebut dijangka dimuktamadkan pada saat akhir menjelang PRN nanti.-UTUSAN










