KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak berkecil hati susulan pelantikan individu luar memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama, namun mereka mengakui berharap ia dapat diisi oleh wakil parti tersebut.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, meskipun terdapat persepsi portfolio berkaitan agama wajar diberikan kepada Amanah, hakikatnya keputusan berkenaan adalah prerogatif Perdana Menteri dan dibuat mengikut prosedur sedia ada.
“Pelantikan individu luar parti ke jawatan menteri atau berkaitan kementerian bukan perkara baharu dan pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menunjukkan Amanah tidak melihat isu tersebut sebagai satu bentuk penolakan terhadap parti.
“Tidak timbul soal kecewa. Harapan itu memang ada, tetapi ia bukan sesuatu yang luar biasa. Bukan Amanah sahaja yang berharap, semua parti dalam kerajaan juga mempunyai harapan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, seorang pemimpin Pemuda Amanah mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang menamakan pelantikan Senator Zulkifli Hasan dan aktivis Marhamah Rosli, masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sambil menyifatkan pelantikan itu ibarat ‘satu pelempang’ buat Amanah, exco Pemuda parti itu Azri Abdullah berkata, kerajaan boleh memilih pemimpinnya seperti Mujahid atau Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda pula berkata, pihaknya percaya setiap keputusan itu mempunyai pertimbangan sewajarnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah lama dalam pentadbiran negara sekali gus meyakini tindakan tersebut adalah tepat.
“Secara jujurnya, memang ada harapan dalam kalangan Amanah supaya jawatan berkaitan Kementerian Agama dapat diberikan kepada wakil parti. Itu adalah sesuatu yang normal dan munasabah memandangkan fokus dan kepakaran Amanah dalam bidang tersebut.
“Jadi tidak timbul isu Amanah kecewa atau kecil hati dengan pelantikan Marhamah daripada pihak luar sebagai Timbalan Menteri Agama,” katanya.
Hasbie berkata, kenyataan itu adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi Pemuda Amanah Nasional. – UTUSAN










