KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) yang mempertaruhkan satu-satu calonnya bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mengakui cabaran untuk meraih sokongan rakyat kerana parti itu masih baharu bertapak di negeri ini.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Mohd. Julpikar Ab Mijan berkata, namun ia tidak bermakna beliau sebagai calon Amanah tidak dikenali, kerana beliau menonjol sebagai individu bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, beliau bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan menggunakan logo gabungan tersebut kerana strategi untuk memastikan mesej perjuangan dan visi kerajaan Perpaduan lebih jelas sampai kepada rakyat.
“Saya akui cabaran itu ada kerana Amanah masih baharu di Sabah, namun gerak kerja sudah dilakukan melalui gabungan NGO yang membantu memperluas jaringan sokongan.
“Saya yakin mampu memberi saingan kuat kepada lawan saya. Saya bukan guna Amanah tetapi PH kerana rakyat lebih nampak visi dan misi kita sebagai kerajaan perpaduan. Pendekatan ini penting untuk memastikan rakyat memahami hala tuju pembangunan yang ingin dibawa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Julpikar daripada Amanah mewakili PH dalam kerusi DUN Sulabayan yang terletak dalam Parlimen Semporna berdepan pertembungan lapan penjuru termasuk penyandang, Datuk Jaujan Sambakong daripada parti Warisan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan kempen PH dan Amanah melibatkan tiga kumpulan utama iaitu pengundi muda, pengundi atas pagar dan penyokong setia parti.
“Anak muda kita dekati melalui pendekatan program belia. Bagi pengundi atas pagar pula, mereka menilai isu setempat, jadi saya bawa isu besar seperti infra, air, elektrik dan jalan raya,” katanya.
Mengulas tentang pertarungan tiga penjuru berdepan penyandang DUN, Jaujan dan calon Perikatan Nasional, beliau melihatnya sebagai persaingan sihat dalam sistem demokrasi. – UTUSAN










