PETALING JAYA: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengiktiraf peranan tokoh agama apabila tiada wakil Parti Amanah Negara (Amanah) dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Katanya, keputusan itu menimbulkan tanda tanya memandangkan Amanah mendakwa memiliki ramai tokoh agama yang berpengalaman serta berkelayakan untuk memegang portfolio berkenaan, namun langsung tidak diberi tempat dalam barisan kepemimpinan kerajaan.
“Tindakan ini seolah-olah menunjukkan Perdana Menteri tidak mengiktiraf kewujudan tokoh agama dalam Amanah, sedangkan parti itu sering mendakwa sebagai membawa agenda Islam progresif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan dilihat gagal menterjemahkan kehendak rakyat terbanyak dalam menilai prestasi menteri Kabinet, khususnya dalam aspek pelantikan yang sepatutnya berasaskan kemampuan dan merit.
Dakwanya, pelantikan itu mencerminkan kelemahan kerajaan dalam berhadapan tekanan parti tertentu, termasuk DAP, yang didakwa mengugut meninggalkan Kabinet jika kehendak mereka tidak dipenuhi.
Dalam masa sama, beliau berkata, beberapa kementerian strategik yang sebelum ini berkait rapat dengan kepentingan orang Melayu dan Islam kini bertukar tangan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hala tuju dasar kerajaan pada masa hadapan.
“Jangan terkejut jika selepas ini muncul pula projek yang bercanggah dengan sensitiviti majoriti rakyat, termasuk isu-isu yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini.
“Jangan terkejut kalau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) meluluskan projek ternakan babi selepas ini,” katanya.
Tambah beliau, pelantikan jawatan dalam Kabinet tidak seharusnya dibuat semata-mata atas faktor kelompok atau parti, sebaliknya perlu mengambil kira keupayaan, pengalaman dan kelayakan individu demi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan berkesan dan diyakini rakyat.
Kelmarin, Exco Amanah, Azri Abdullah mengkritik pelantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang disifatkan ibarat ‘satu pelempang’ buat parti itu yang merupakan sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN










