PUTRAJAYA: Pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak lagi dibenarkan mengenakan yuran tambahan melampau kepada pelajar susulan aduan ibu bapa berhubung beban kewangan yang semakin menekan, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, garis panduan khusus bagi menyelaras semua kutipan yuran dan bayaran tambahan termasuk yang dikenakan oleh Muafakat, badan setara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MRSM, akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan baharu bermula pada 12 Januari ini.
Katanya, Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA telah diarahkan menyediakan garis panduan berkenaan selain menetapkan jumlah paling munasabah yang boleh dikenakan kepada setiap pelajar bagi tujuan aktiviti dan kebajikan di MRSM.
“Saya sudah minta garis panduan ini disiapkan dan dikeluarkan sebelum sesi baharu bermula. Ia penting bagi memastikan tiada kutipan yang melampau dan membebankan ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Garis panduan itu merangkumi aspek peraturan, tatacara dan mekanisme kawal selia semua kutipan dan perbelanjaan melibatkan ibu bapa termasuk bayaran yang dibenarkan dan dilarang, keperluan persetujuan majoriti serta kewajipan pelaporan kewangan secara telus.
Langkah tersebut diambil susulan dakwaan ibu bapa mengenai kadar sumbangan Muafakat yang tinggi serta pelbagai bayaran tambahan dikenakan di beberapa MRSM sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.
Untuk rekod, terdapat MRSM yang mengenakan yuran sumbangan Muafakat sehingga RM215 seorang, tidak termasuk yuran aktiviti pembelajaran tambahan mencecah RM400.
Asyraf Wajdi turut mengakui ada sekolah yang meningkatkan kadar yuran sehingga hampir RM1,000.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengarahkan semua pendapatan dan perbelanjaan Muafakat diwajibkan melalui proses audit bagi memastikan ketelusan urus tadbir kewangan.
Katanya, Pengarah BPM MARA juga diarahkan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dan memperincikan operasi Muafakat MRSM supaya wujud peraturan mengikat yang mampu mengawal selia tadbir urus dan mengelakkan perbalahan berkaitan yuran serta perbelanjaan.
“Ada kes pelajar terpaksa membeli lapan hingga sembilan jenis pakaian ketika pendaftaran. Ini perlu dikawal supaya kebajikan pelajar terutama daripada keluarga B40 terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










