PUTRAJAYA: Tiada mana-mana pihak boleh mempertikaikan prerogatif Perdana Menteri untuk melantik mana-mana Hakim Mahkamah Persekutuan menjadi ahli dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Perdana Menteri berhak berbuat demikian kerana ia sudah termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“Mengikut Akta JAC, terdapat empat ahli kekal iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Ahli kelima JAC dilantik oleh Perdana Menteri tanpa perlu merujuk kepada JAC.
“Undang-undang membenarkan beliau (Perdana Menteri) untuk berbuat demikian dan memandangkan beliau melantik di kalangan Hakim Mahkamah Persekutuan, jadi tidak timbul sebarang persoalan dan tidak boleh dipertikaikan kerana beliau ada kuasa.
“Saya (sendiri) tidak boleh mempersoalkannya. Kita perlu menerima dengan seadanya. Saya tidak boleh membuat sebarang komen (mengenai pelantikan Ahmad Terrirudin) sama ada positif atau negatif, undang-undang membenarkan beliau dilantik dan boleh dilantik.
“Pada mesyuarat JAC yang terbaharu, beliau (Ahmad Terriruddin) turut hadir dan pada ketika ini, saya tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya. Kita kena move on,” kata Wan Ahmad Farid pada Majlis Temu Bual Sempena 100 Hari Pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara di Pejabat Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kontroversi pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh sebagai salah seorang ahli JAC bagi tempoh dua tahun bermula 15 November 2025 hingga 14 November 2027.
Kontroversi mengenai Ahmad Terrirudin yang juga bekas Peguam Negara tercetus apabila terdapat kebocoran minit mesyuarat JAC yang mempertikaikan kredibilitinya.
Majlis Peguam sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan dengan pelantikan Ahmad Terrirudin yang disifatkan kurang telus.
Menjawab pertanyaan sama ada beliau akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan berkait Ahmad Terrirudin, Wan Ahmad Farid berkata, kontroversi yang timbul membabitkan bekas Peguam Negara itu tidak membabitkan kedudukannya sebagai hakim.
“Apa sahaja dakwaan yang timbul mengenainya bukan membabitkan kapasitinya sebagai hakim. Pada ketika ini, tiada sebarang aduan terhadapnya dalam kapasiti sebagai hakim. Jadi macam mana sebuah tribunal atau jawatankuasa hendak bertindak terhadapnya?,”katanya.
Ditanya mengenai usaha untuk menangani kontroversi yang timbul yang secara tidak langsung menggugat keyakinan awam kepada badan kehakiman, Wan Ahmad Farid memberitahu, Ahmad Terrirudin seharusnya dinilai melalui prestasinya di mahkamah.
“Jika awak (orang awam) ingin mempertikaikan Tan Sri Terrirudin, nilai dia melalui penghakiman yang dibuat, tingkah lakunya dalam menangani para peguam, cara dia mengendalikan hujahan di hadapannya. Nilai beliau melalui penghakimannya dan bukan faktor luar, bukan apa yang berlaku sebelum ini.
“Apa yang terbaik ketika ini ialah untuk masyarakat menerima keadaan dengan seadanya, move on dan nilai seseorang hakim itu berdasarkan restasinya di Mahkamah,”kata Wan Ahmad Farid.
Tambahnya, adalah tidak adil untuk menilai seseorang itu berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini dan bukan dalam situasi terkini. – UTUSAN










