KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya menganggarkan kos sebanyak RM327.8 juta diperlukan bagi membaiki kerosakan infrastruktur disebabkan Monsun Timur Laut.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat laporan yang diterimanya, jumlah itu dianggarkan melibatkan RM225.9 juta bagi jalan berturap, RM47.4 juta bagi jalan tidak berturap dan RM54.5 juta bagi cerun.
Katanya, bagaimanapun, jumlah kos itu berkemungkinan meningkat melihat kepada keadaan Monsun Timur Laut yang masih melanda negara.
“Pertama sekali, kami akan selidik. Kemudian baru kita boleh pastikan anggaran kos yang diperlukan untuk membaiki kerosakan tersebut.
“Kami tidak dapat menganggarkan jumlahnya sekarang kerana bencana ini masih berterusan. Hampir setiap hari,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 145 lokasi telah dikenalpasti terkesan akibat kerosakan disebabkan Monsun Timur Laut.
Tambah Alexander, kementerian juga sedang mengesan sebarang kerosakan yang berlaku akibat bencana alam itu.
“Buat masa ini, sebarang kerosakan jalan disebabkan bencana alam sedang dikesan. Bilik Gerakan Bencana (Bigben) kini berada pada tahap tiga di mana pegawai kami beroperasi selama 24 jam.
“Disebabkan kejadian bencana alam melibatkan banjir dan tanah runtuh ini sedang berlaku, Jadi selepas dilaporkan, kami akan mengambil tindakan segera. – UTUSAN










