KOTA BHARU: Penduduk di Kelantan dan Terengganu terutama yang tinggal di kawasan rendah perlu kekal waspada dan bersiap sedia untuk berdepan dengan banjir gelombang kedua dan seterusnya yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, ‘edah’ Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa hujan lebat dan boleh menyebabkan banjir belum berakhir.
Katanya, mengikut pembentangan awal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), MTL membawa sekurang-kurang lima hingga tujuh episod hujan lebat yang dijangka melanda negeri-negeri Pantai Timur termasuk Kelantan.
“Bagaimanapun kita tunggu dan lihat kerana tempoh MTL bermula November hingga Mac tahun depan. Jadi, jangkaan untuk berlakunya gelombang kedua dan berikutnya sepanjang MTL kemungkinan boleh berlaku.
“Saya minta penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dilanda banjir supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi perkara tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Seorang penduduk Rantau Panjang, Faizal Salleh, 42, berkata, dia belum membawa turun semua barangan yang disimpan di tempat tinggi walaupun air Sungai Golok sudah surut.
Katanya, sikap wasapada perlu sentiasa ada kerana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa keran tempoh ‘edah’ MTL belum tamat.
“Mengikut pedoman orang-orang tua dulu, biasanya banjir tamat selepas sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Sementara itu di Kuala Terengganu, sebahagian mangsa banjir yang dibenarkan pulang hanya melakukan kerja-kerja pembersihan rumah secara ala kadar kerana tidak mahu usaha itu sia-sia jika bencana itu melanda lagi.
Walaupun cuaca semakin baik sekali gus menjadikan gelombang pertama banjir di Terengganu bakal berakhir, mangsa yang terjejas bimbang banjir susulan melanda kawasan mereka kerana gelombang kedua boleh berlaku pada bila-bila masa.
Seorang penduduk dari Alur Limbat, Marang, dekat sini, Faizul Ibrahim, 42, berkata, berdasarkan corak kaji cuaca dan unjuran Metmalaysia, orang ramai perlu bersiap sedia untuk beberapa lagi episod banjir yang bakal menyusul.
Katanya, dia berbelah bahagi sama ada mahu membersihkan kediaman atau menunggu sehingga banjir benar-benar pulih.
“Saya hanya membersihkan bahagian dapur dan ruang tamu yang dimasuki air kerana banyak menggunakan ruangan itu. Barang-barang elektrik dan perabot yang dialih masih kekal di situ supaya tidak perlu ‘buat kerja’ dua kali jika banjir melanda lagi,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Marang, semalam. – UTUSAN










