PETALING JAYA: Beberapa kawasan pedalaman di Kelantan, Kedah, Perak, dan Pahang dijangka mengalami suhu rendah di bawah 20 darjah Celsius sehingga awal Mac ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, negeri-negeri di utara dan pedalaman Semenanjung lazimnya akan mencatatkan suhu lebih rendah daripada kebiasaan pada awal pagi semasa penghujung Monsun Timur Laut.
Beliau berkata, beberapa tempat di pedalaman Kelantan, Kedah, Perak dan Pahang biasanya mencatatkan suhu yang rendah kurang dari 20 darjah Celsius pada penghujung bulan Januari sehingga awal Mac setiap tahun.
“Kawasan yang merekodkan suhu terendah setakat ini ialah di Felda Nenering 2, Hulu Perak dengan bacaan 17.2 darjah Celsius
“Bacaan suhu minimum di utara dan pedalaman Semenanjung dijangka terus rendah dalam julat 17 hingga 20 darjah Celsius dalam bulan Februari dan awal Mac ini berikutan udara sejuk dari tanah besar China masih diramalkan bertiup memasuki negara.
“Suhu dijangka kembali meningkat selepas itu dengan perubahan arah tiupan angin berikutan tamatnya Monsun Timur Laut yang dijangka pada penghujung Mac ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan, Kuala Krai kembali dilanda suhu rendah selepas merekodkan bacaan suhu antara 18 hingga 21 darjah Celsius sekali gus menyamai suasana di kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang sejak minggu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk mengakui mereka perlu memakai baju tebal dan mandi menggunakan air panas terutama pada awal pagi kerana kedinginan.
Malah pendududuk mendakwa, suhu yang direkodkan ketika ini adalah yang paling sejuk dalam tempoh 11 tahun selepas 2014.
Seorang penduduk, Hamdan Mahadi berkata, cuaca persis Cameron Highlands boleh dirasai bermula lewat petang sehingga pukul 9 pagi.
“Jika awal pagi, saya terpaksa berhati-hati semasa memandu kerana kabus agak tebal. Selain itu, kami terpaksa memakai baju tebal untuk mengelakkan daripada kesejukan,” katanya.
Tambah Dr. Mohd Hisham, suhu terendah telah direkodkan di Kuala Krai, Kelantan dengan
bacaan 19.6 darjah Celsius pada 6 April 2024.
“Penurunan suhu di Malaysia terjadi disebabkan terdapat pergerakkan angin sejuk yang dikenali sebagai luruan monsun dari kawasan tanah besar China dan benua Siberia memasuki rantau negara kita setiap kali musim Monsun Timur Laut berlaku pada November hingga Mac setiap tahun.
“Lazimnya luruan angin sejuk dari tanah besar China dan benua Siberia ini akan menyebabkan cuaca sedikit sejuk ketika penghujung Monsun Timur Laut terutamanya di utara dan kawasan pedalaman Semenanjung,” katanya. – UTUSAN









