KUALA LUMPUR: Kewujudan spa songsang yang diserbu di Chow Kit di sini, baru-baru ini berada di luar kawalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, lesen dikeluarkan berdasarkan permohonan rasmi yang menyatakan tujuan pembukaan spa, namun pemilik premis kemudian menjalankan aktiviti lain di luar skop dan kawalan pihak berkuasa.
“Kita keluarkan lesen berdasarkan apa yang ditulis dalam permohonan. Namun, ada yang menjalankan aktiviti lain selepas lesen diluluskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berkenaan peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan termasuk DBKL dalam mengawal premis spa agar tidak disalah guna.
Zaliha berkata, DBKL telah menubuhkan KL Strike Force dengan bertindak berdasarkan aduan awam dan operasi berkala kepada mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.
“DBKL turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bergantung kepada bidang kuasa kes yang terlibat,” katanya. – UTUSAN










