Kerjasama Selatan-Selatan diperkukuh: Riyadh pacu pembiayaan projek berimpak tinggi

Kerjasama Selatan-Selatan diperkukuh: Riyadh pacu pembiayaan projek berimpak tinggi

DIMA AL KHATIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika ekonomi dunia berdepan tekanan perdagangan serta peningkatan sentimen perlindungan, Kerjasama Selatan-Selatan (KSS) menjadi tumpuan penting bagi Riyadh untuk memastikan ketahanan ekonomi negara-negara membangun.

Pengarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pejabat Kerjasama Selatan-Selatan (UNOSSC), Dr. Dima Al-Khatib berkata, bank pembangunan multilateral dan dana serantau di Asia Barat kini memperluaskan inisiatif pembiayaan bagi membawa modaliti KSS ke skala lebih besar.

Menurut beliau, KSS tidak lagi tertumpu kepada perkongsian pengetahuan semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi strategi pengukuhan ekonomi kolektif yang membolehkan negara membangun saling berkongsi pengalaman, menangani cabaran serta memperkukuh daya tahan perdagangan.

Katanya, fleksibiliti KSS membolehkannya merentas pelbagai sektor kritikal seperti perdagangan, pengurusan air dan perubahan iklim, sekali gus menjadikan alat pembangunan komprehensif pada era ketidaktentuan global ketika ini.

“KSS memainkan peranan yang semakin penting dalam mengisi jurang yang ditinggalkan oleh penurunan Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) global. Kerjasama ini dilihat sebagai melengkapkan bantuan konvensional dan menggalakkan pergantungan kepada sumber dan kepakaran Selatan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai keperluan pembiayaan mampan dengan menekankan kepentingan sinergi antara Bank Pembangunan Multilateral (MDBs), Bank Pembangunan Serantau serta sektor swasta bagi memperkukuh projek pembangunan.

Institusi-institusi kewangan utama di negara Asia Barat seperti Bank Pembangunan Islam (IsDB), Dana Arab Saudi untuk Pembangunan (SFD) dan Dana Pembangunan Abu Dhabi (ADFD) turut memainkan peranan besar bukan sahaja dalam menyediakan sokongan kewangan, malah berkongsi kepakaran teknikal untuk memastikan keberkesanan program KSS.

Beliau berkata, IsDB kini membangunkan pakej pembiayaan khusus untuk mendorong penyertaan sektor swasta, sekali gus membuka ruang kepada negara membangun mengemukakan projek yang boleh dilaburkan (bankable projects) dan menarik modal antarabangsa.

“Bank-bank pembangunan kini giat bekerjasama merentasi pelbagai platform bagi menghimpunkan elemen utama seperti kewangan, pengetahuan dan projek demi memudahkan proses pembiayaan,” katanya.

Usaha itu berpotensi mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi syarikat swasta dalam sektor-sektor baharu dan berkembang pesat termasuk infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pengurusan air di Global Selatan.

Katanya, Riyadh kini memperkasakan peranan sebagai hab pembiayaan strategik serantau melalui dana dan bank pembangunan untuk menyokong aspirasi Kerjasama Selatan-Selatan di peringkat antarabangsa, sekali gus memastikan usaha pembangunan dipacu lebih kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN