PETALING JAYA: Kebanyakan kes rumah tangga melibatkan suami yang cenderung kepada hubungan sejenis didakwa berpunca daripada tekanan keluarga yang mahu anak lelaki mereka segera berkahwin.
Pengasas The Solusi, Firdaus Mokhtar berkata, pihaknya sering menerima pasangan yang datang mendapatkan khidmat nasihat bagi mencari penyelesaian terbaik demi masa depan rumah tangga masing-masing.
Beliau berkata, hampir belasan kes yang melibatkan suami songsang sama ada mempunyai kekasih sejenis atau melanggan lelaki lain meskipun sudah mendirikan rumah tangga yang diterima pihaknya.
“Ada satu kes, si isteri berhenti kerja kerana tinggal berjauhan apabila suaminya ditempatkan di Kuantan. Dia tahu suaminya ada rakan lelaki yang sering datang bermalam, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
“Pada suatu hari, si isteri terlihat notifikasi mesej di telefon suaminya dengan panggilan ‘sayang’ daripada seorang lelaki. Pada mulanya dia menyangka suaminya curang dengan wanita lain, kerana menyimpan nama skandal itu sebagai ‘lelaki’. Namun akhirnya suaminya mengaku lelaki tersebut adalah kekasih hatinya sejak sebelum perkahwinan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Firdaus berkata, sebelum mengambil keputusan bercerai, si isteri masih memberi peluang kepada suaminya untuk berubah dan bertaubat.
Namun harapan itu tidak kesampaian apabila suaminya langsung tidak menunjukkan usaha untuk berubah. Sebaliknya, dia memuat turun aplikasi untuk hubungan sesama jantina serta kerap menonton kandungan lucah di platform X.
“Ketika si isteri dimasukkan ke hospital, suaminya langsung tidak datang melawat. Itu membuatkan dia tekad memfailkan perceraian. Mujur mereka belum mempunyai anak. Kebanyakan kes sebegini berlaku dalam kalangan pasangan yang masih baharu berkahwin,” katanya.
Baru-baru ini, seramai 202 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Chow Kit ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang.
Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam satu operasi mengejut membabitkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Daripada kesemua ditahan, seramai 171 merupakan rakyat tempatan, manakala 31 lagi adalah warga asing.











