SEREMBAN: DAP tidak akan berputus asa untuk meraih sokongan rakyat hanya kerana parti itu mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kekalahan di Sabah akan menjadi pembakar semangat buat parti itu untuk mengukuhkan semula sokongan rakyat.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, DAP sebelum ini telah melalui fasa lebih sukar namun berjaya bangkit semula melalui kerja keras dan keutuhan organisasi.
“Saya berharap kekalahan di Sabah tidak melemahkan sesiapa. Tahun depan, ketika kita menyambut 60 tahun DAP, kita mesti perhebatkan program di seluruh negara bagi menyampaikan mesej perjuangan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program D-Action Run sempena ulang tahun ke-60 DAP di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini hari ini.
Tambah Anthony Loke, sejarah DAP Negeri Sembilan menjadi contoh bagaimana parti itu mampu kembali membina kekuatan selepas mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.
“Hari ini, DAP telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. Ini bukti bahawa semangat tidak putus asa itulah yang membawa kita ke tahap sekarang,” katanya. – UTUSAN










