JIM serbu lokasi tumpuan PATI dari Afrika di Jalan Klang Lama

JIM serbu lokasi tumpuan PATI dari Afrika di Jalan Klang Lama

KAWASAN sekitar Jalan Klang Lama di ibu negara yang menjadi tumpuan PATI digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kawasan sekitar Jalan Klang Lama di ibu negara yang menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari benua Afrika digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Operasi yang dijalankan pada pukul 9.40 malam itu telah dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 131 individu yang terdiri daripada 82 lelaki dan 34 wanita warganegara asing serta 15 rakyat tempatan telah diperiksa dalam operasi ini. 

Hasilnya, kata Zakaria seramai 90 individu terdiri dari Myanmar, Nigeria, Yemen, Somalia, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Vietnam, Thailand, Pakistan, dan Sri Lanka berumur di antara 21 hingga 35 tahun dikesan melalukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan Imigresen 1963. 

“JIM turut mengeluarkan satu saman kepada saksi (Borang 29) terhadap pemilik restoran di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria memberitahu, modus operandi mereka adalah berselindung di sebalik pas yang telah tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan terbuka seperti kawasan parkir kereta.

Selain itu mereka turut melakukan aktiviti sama di kawasan tumpuan seperti kedai makan dan restoran seterusnya menjadikan tempat tersebut untuk berhibur hingga lewat malam.

“Kesemua warganegara asing tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×