PETALING JAYA: Semua Jemaah Menteri diingatkan supaya memikul amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya bagi memastikan setiap dasar dan polisi kerajaan dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik dan komunikasi yang jelas juga perlu diperkasakan supaya maklumat sampai kepada semua lapisan masyarakat.
“Sewaktu menerima kunjungan timbalan-timbalan Menteri yang baharu, saya menegaskan kepentingan untuk terus memelihara hubungan yang baik dengan semua pihak, bukan sahaja di peringkat kementerian dan agensi, malah merangkumi seluruh lapisan masyarakat.
“Peri pentingnya, aspek komunikasi diperkasakan secara berterusan supaya maklumat yang disampaikan jelas, tepat dan sampai ke semua lapisan masyarakat selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban,” ,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Rombakan Kabinet baru-baru ini menyaksikan perubahan jawatan manakala beberapa nama digugurkan. – UTUSAN









