JERANTUT: Penantian hampir tiga dekad penduduk sekitar Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling di sini, untuk melihat Jalan Jerantut ke Taman Negara berdekatan Simpang Payah Garok dinaik taraf belum menjadi kenyataan.
Setiap kali musim tengkujuh, laluan berkenaan pasti ditutup antara dua hingga lima hari kerana ditenggelami air, sekali gus menjejaskan kelancaran perhubungan penduduk.
Keadaan itu bukan sahaja menyulitkan urusan harian, malah memberi kesan kepada sektor pelancongan di Taman Negara yang menjadi tarikan utama daerah ini.
Difahamkan, kerja menaiktaraf laluan itu sudah ada dalam perancangan kerajaan membabitkan peruntukan RM20 juta selepas Bah Merah 2014, bagaimanapun projek tersebut didakwa tidak dapat direalisasikan apabila peruntukan berkenaan dibawa untuk pembangunan projek di tempat lain.
Penduduk Kampung Pagi, Mustapha Abdullah, 35, berkata, setiap kali musim tengkujuh pada akhir tahun, laluan di Simpang Paya Garuk terputus hubungan kerana ditenggelami air sedalam lebih dua meter.
“Kejadian ini menyukarkan penduduk berurusan ke bandar Jerantut untuk membeli keperluan dapur dan rawatan perubatan di hospital bagi penduduk yang mengalami penyakit kronik.
“Kita berharap kerajaan dapat menaik taraf segera dengan meninggikan laluan ini dan membaik pulih sistem saliran anak sungai dan sebagainya bagi mengelakkan banjir berulang dan seboleh-bolehnya sebelum musim pejur tidak lama lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penduduk Tembeling Tengah, Hamid Ahmad, 56, menggesa kerajaan mempercepatkan projek menaik taraf laluan itu supaya penduduk dan kenderaan tidak lagi terkandas ke bandar Jerantut setiap kali musim tengkujuh.
“Saya mendapat tahu selepas banjir 2014, ada pihak tertentu yang menguar-uarkan projek menaik taraf laluan ini, tetapi sehingga kini masih belum menjelma,” katanya.
Menurutnya, setiap kali laluan itu terkandas, penduduk tidak dapat membawa hasil kampung termasuk kelapa sawit dan getah ke bandar Jerantut, lantas menyebabkan kerugian malah ada pengusaha yang kehilangan pendapatan.
Penduduk Ulu Tembeling, Shahradin A. Karim, 58, pula berkata, ketika laluan itu terkandas, pelawat domestik dan pelancong luar tidak dapat melawat ke Taman Negara termasuk Kampung Tradisional Melayu di Ulu Tembeling.
“Senario ini mengundang kehilangan pendapatan dalam kalangan pemain dan penggiat sektor ekopelancongan Taman Negara dan Ulu Tembeling dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu kerana pengunjung tidak dapat datang setiap kali kawasan berkenaan dinaiki air,” katanya.
Shahradin berkata, kerajaan perlu segera menaik taraf laluan Simpang Paya Garuk kerana kawasan itu merupakan jalan utama dan penting untuk pembangunan sektor ekopelancongan dan pertanian bagi penduduk sekitar Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling. – UTUSAN











