SERDANG: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyifatkan senarai Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, merupakan Kabinet bekerja.
Zambry berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin memastikan gabungan pemimpin antara senior dan junior dapat dilaksanakan.
“Beliau (Anwar) ingin memastikan supaya pergabungan semua dapat dilaksanakan. Ada yang senior dan junior, orang veteran dan yang muda.
“Kita letakkan dalam satu pasukan yang baik untuk memastikan supaya agenda Madani dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya ditemui pemberita di Training of Trainers (ToT) Perdana Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Zambry berkata, pihaknya berharap dengan adanya barisan baharu Kabinet, Perdana Menteri akan dapat benar-benar melaksanakan agenda-agenda yang ingin dilaksanakan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk terus meneraju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Kita telah pun berusaha melakukan pelbagai program dan pendekatan serta perubahan.
“Perdana Menteri mahukan saya meneruskan agenda-agenda yang telahpun kita susun seperti yang tersedia maklum…kita telah menyiapkan Pelan Pendidikan Tinggi Negara untuk 10 tahun yang akan datang.
“Insya-Allah akan dibentangkan dan dilancarkan oleh Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN










