Tiga ujian Kabinet baharu

Tiga ujian Kabinet baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMBAKAN Kabinet pada 16 Disember 2025 perlu dibaca melangkaui isu “siapa naik, siapa turun”. Dalam politik gabungan, rombakan Kabinet ialah instrumen bagi pengurusan kuasa sama ada menutup lompang pentadbiran, menstabilkan gabungan dan menyusun semula titik tumpuan prestasi.

Oleh sebab itu, rombakan Kabinet bukan sekadar episod pertukaran individu. Ia ialah ujian kemampuan kerajaan untuk membuat keputusan yang selaras, melaksanakan dasar tanpa kekeliruan dan meningkatkan kepercayaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 16 (PRU-16).

Dalam konteks ini, ada tiga persoalan boleh dilihat dalam menilai barisan Kabinet baharu ini.

Gabungan stabil

Rombakan Kabinet lazimnya mengukuhkan gabungan kerana ia menyusun semula keseimbangan dalaman, mengurangkan geseran dan menempatkan semula tokoh mengikut keperluan koalisi.

Namun pengukuhan gabungan datang dengan risiko besar bagaimana legitimasi Kabinet akhirnya dinilai melalui portfolio dan rekod pengalaman dan pendidikan, bukan retorik.

Di sini, rakyat menilai secara praktikal apakah latar belakang pelantikan utama benar-benar selari dengan medan kementerian?

Kementerian yang memacu pelaburan, perdagangan, ekonomi, pekerjaan dan usahawan memerlukan disiplin dasar, kebolehan menyelaras agensi dan kefahaman ekosistem industri bukan sekadar kemahiran komunikasi politik.

Bagi portfolio yang menyentuh kehidupan harian di bandar dan pinggir bandar, perumahan, penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), perkhidmatan tempatan, keupayaan delivery lebih penting daripada kehebatan naratif.

Pada masa sama, kerajaan perlu mengakui satu realiti pentadbiran iaitu pelantikan yang membawa baggage persepsi seperti kontroversi lama, imej yang mudah diserang, atau persoalan kompetensi akan menambah kerumitan di titik permulaan Kabinet tersebut.

Ini bukan isu moral tetapi isu starting conditions. Kabinet yang terpaksa bermula dengan mod pembuktian, bukan mod kepercayaan.

Tanpa disiplin petunjuk prestasi utama (KPI) dan pelaporan hasil yang jelas, minggu-minggu awal mudah habis untuk defensif, birokrasi untuk menjadi lebih berhati-hati dan lawan politik mendapat kelebihan membingkai naratif sebelum prestasi sempat kelihatan.

Komposisi ini ke mana?

Dimensi kedua ialah ke mana arah tuju Kabinet ini bergerak berbanding sebelum rombakan? Dalam kerajaan gabungan, perubahan Kabinet biasanya menunjukkan dua perkara serentak iaitu kesinambungan pada portfolio teras negara dan penekanan baharu pada portfolio yang menjadi medan penilaian rakyat khususnya ekonomi harian dan delivery.

Dalam konteks ini, satu elemen penting yang menghangatkan perbahasan pasca-rombakan ialah kebimbangan terhadap kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan Wilayah Persekutuan, yang kini dilihat “dikuasai satu parti” dan satu kaum apabila menteri serta timbalannya datang daripada kumpulan etnik yang sama. Kebimbangan ini hadir kerana parti tersebut sebelum ini lantang menyokong pilihan raya kerajaan tempatan. Ini bukan sekadar polemik partisan tetapi ia menyentuh isu institusi dan struktur demokrasi bandar.

Jika isyarat yang dibaca rakyat ialah pengukuhan kuasa pusat melalui penguasaan portfolio yang mempengaruhi kerajaan tempatan, maka wajar kerajaan memberi penjelasan awal tentang prinsip, sempadan kuasa dan mekanisme semak imbang agar isu power grab tidak menjadi naratif dominan dan kegusaran berbaur perkauman tidak menjadi topik perbincangan.

Wacana pasca-rombakan turut dipacu bukan sahaja oleh kenyataan pembangkang, tetapi juga oleh komentar keras daripada sebahagian tokoh dan kumpulan politik termasuk suara yang berhujah bahawa rombakan ini lebih didorong tekanan politik daripada keperluan dasar.

Tambahan pula, pandangan rakyat di media sosial mempercepatkan suhu perdebatan bukan sekadar reaksi spontan, tetapi semakin “mendalam korekannya”, menghubungkan pertukaran portfolio dengan persoalan siapa menentukan arah sebenar kerajaan. Dalam bacaan institusi, ini penting kerana ia mengubah fokus perdebatan daripada sekadar “komposisi Kabinet” kepada isu proses pembentukan keputusan. Adakah rombakan dibentuk oleh logik prestasi dan dasar, atau logik penyesuaian kuasa di bawah tekanan?

Di sinilah kerajaan perlu berhati-hati jika rakyat mula membaca kabinet sebagai cabinet by pressure, kesannya ialah penyusutan mandat simbolik kerana Kabinet dilihat mengurus ancaman, bukan memimpin hala tuju. Menutup jurang persepsi ini memerlukan penjelasan yang konsisten tentang rasional penempatan, bukan sekadar umum “untuk kestabilan”.

Perkukuh kepercayaan

Dimensi ketiga paling sukar iaitu bolehkah Kabinet ini menaikkan dan memperkukuhkan kepercayaan? Dalam kajian kepercayaan politik, trust terbina melalui tiga dimensi; kompetensi (deliverable), proses keadilan (fairness), dan integriti (clean governance).

Rombakan Kabinet hanya membuka peluang tetapi ia tidak menjamin ketiga-tiga ini akan tercapai.

Di sinilah isu “era baharu kepercayaan antara kaum” menjadi relevan terutama apabila beberapa jawatan utama bertukar pegangan etnik dan pada masa sama portfolio tertentu ditafsir sebagai dekat dengan ekosistem ekonomi rakyat bawahan atau pentadbiran bandar.

Dalam masyarakat majmuk, perubahan simbol kuasa mudah menimbulkan dua bacaan yang bertentangan. Satu pihak melihat keterangkuman; satu pihak merasakan ruang kuasa semakin mengecil.

Secara akademik, ini ialah ketegangan antara identity optics (siapa memegang) dan outcome legitimacy (apa yang dicapai).

Jalan keluar yang paling stabil ialah menukar debat simbol kepada reka bentuk institusi dan bukti hasil. Tiga langkah praktikal boleh menjadi “penstabil atau pengukuh kepercayaan”:

Keadilan yang boleh ditunjukkan. Untuk portfolio pengagihan seperti usahawan mikro, koperasi, bantuan ekonomi, perumahan, kerajaan perlu memaparkan kriteria, proses pemilihan, mekanisme rayuan dan audit. Ini mematikan ruang manipulasi sentimen kerana rakyat menilai aturan, bukan khabar angin.

Delivery yang dirasai, bukan pengumuman. Kepercayaan dibina melalui pengalaman harian seperti masa kelulusan, kelajuan menyelesaikan aduan, konsistensi penguatkuasaan, ketelusan perolehan dan keberkesanan program. Tanpa indikator yang bergerak, rombakan akan dilihat sebagai musical chairs sahaja.

Integriti sebagai polisi, bukan slogan. Dalam konteks “kos legitimasi awal” akibat pelantikan yang dipersoal, kerajaan perlu menutup ruang polemik melalui disiplin prestasi dan garis integriti yang tegas. Jika tidak, isu personaliti akan menenggelamkan agenda.

Rombakan Kabinet ini boleh dibaca sebagai usaha mengukuhkan gabungan dan menyusun semula akauntabiliti prestasi menjelang PRU-16.

Tetapi keyakinan terhadap Kabinet ini akan ditentukan oleh tiga ujian: Adakah pelantikan benar-benar sesuai dengan portfolio, adakah arah Kabinet lebih koheren dari segi institusi bandar dan ekonomi rakyat dan adakah ia mampu memperkukuh kepercayaan, termasuk kepercayaan antara kaum melalui kompetensi, proses keadilan, serta integriti. Jika indikator ini bergerak dalam 100 hingga 180 hari, barulah rombakan ini boleh ditafsir sebagai penajaman kapasiti.

Jika tidak, ia akan kekal sebagai episod politik yang mengubah susunan, tetapi tidak mengubah keyakinan. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN