2025, kementerian mana jadi ‘juara’ di hati rakyat? - Utusan Malaysia

2025, kementerian mana jadi ‘juara’ di hati rakyat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang sinis apabila mengatakan Adam Adli Abd. Halim punya peluang besar untuk menghapuskan hutang PTPTN selepas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu ditukarkan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam rombakan Kabinet Madani baru-baru ini.

Apalah hendak diungkit-ungkit sangat janji-janji pihak yang sebelum berada dalam kerajaan. Selalunya apabila sudah berada dalam kerajaan dan menjadi menteri, baru mereka faham bagaimana sesuatu dasar atau janji itu agak sukar dilaksanakan dengan fakta dan logik akal.

YB Adam juga bukan berseorangan dalam bab sukar memenuhi janji itu. Ada ramai lagi pemimpin begitu dan buat-buat lupa. Tetapi inilah penilaian atau assessment yang telah dibuat rakyat yang mungkin melekat terus dalam kepala sampai bila-bila selagi janji pilihan raya itu tidak dilaksanakan.

Dan kita sudah berada di hujung tahun 2025. Tentunya rakyat juga ada penilaian sendiri terhadap kerajaan atau lebih khusus kepada kementerian-kementerian yang memperjuangkan kehendak dan nasib mereka.

Selalunya di kebanyakan organisasi pun masa inilah prestasi kakitangan dinilai sama ada bagus atau tidak, mendapat ganjaran atau sebaliknya sepanjang tahun ini.

Kalau dilihat di media sosial, sebenarnya rakyat sudah awal-awal lagi membuat penilaian pencapaian beberapa kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan yang sudah berusia kira-kira tiga tahun satu bulan ini.

Rakyat hari ini tidak lagi melihat kerajaan sebagai satu blok besar. Mereka menilai kementerian satu per satu, dan lebih penting kesannya kepada hidup seharian mereka. Daripada segi gaji, sekolah anak, rawatan kesihatan, hinggalah kepada maruah bola sepak negara.

Pun begitu, tidak semua boleh ‘diangkat’ sebagai komen yang jujur dalam membuat penilaian, terutamanya yang datang daripada penyokong tegar parti-parti politik, yang tentunya bersikap menegakkan benang basah.

Dan tidak semua kementerian yang dihentam di media sosial itu tidak perform. Selalunya persepsi terhadap menteri atau timbalannya membuatkan segala dasar atau pelan menjadi buruk di mata yang tidak menyukai pemimpin itu.

Ada yang mengatakan, sepanjang tahun ini Kementerian Pendidikan di bawah Fadhlina Sidek, menjadi antara yang paling banyak menerima kritikan rakyat. Isunya bukan pasal dasar atau pelan. Masalahnya adalah cara krisis ditangani. Insiden buli, rogol, keselamatan pelajar, dan tragedi di sekolah yang memerlukan respons pantas, tegas dan penuh empati.

Namun sepanjang 2025, ramai melihat banyak penjelasan kementerian dilakukan lambat, terlalu berlapik, atau berhati-hati sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati terutamanya dalam menjadikan sekolah ruang selamat, bukan medan trauma.

Bagaimanapun, KPM dilaporkan melakar 15 kejayaan besar sepanjang tempoh tiga tahun pelaksanaan reformasi pendidikan dalam usaha memartabatkan pendidikan negara.

Kejayaan itu, kata Fadhlina baru-baru ini direkod dalam Laporan Pencapaian Reformasi Pendidikan 2025 yang menampilkan pelbagai transformasi pendidikan untuk melonjakkan sistem pendidikan lebih dinamik, inklusif dan relevan dengan cabaran masa depan.

Antara pencapaian itu adalah memberi pendidikan wajib menengah yang setiap anak Malaysia dilindungi undang-undang untuk belajar sekurang-kurangnya hingga Tingkatan Lima, menangani isu keciciran pelajar, mengisi 98 peratus membabitkan 52,948 guru baharu, mengembalikan takwim sekolah kembali ke Januari, memperkenalkan 11 inisiatif sekolah selamat, penguasaan seramai 398,496 murid yang menguasai asas 3M (membaca, menulis dan mengira) serta reformasi beban guru.

Sementara itu, KBS juga tidak terlepas daripada sorotan kritikan rakyat apabila isu pemain warisan dan denda FIFA muncul sebagai satu bab yang mengecewakan rakyat terutamanya penyokong bola sepak Malaysia.
Rakyat bukan kecewa kerana keputusan perlawanan. Rakyat kecewa kerana rasa dipermainkan. Proses naturalisasi yang longgar, dokumentasi yang dipersoal, dan kegagalan tadbir urus menjadikan bola sepak negara kelihatan terdesak dan tidak berprinsip.

KBS ketika itu di bawah Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli cuba meredakan keadaan dengan janji siasatan dan pembaharuan. Namun kepercayaan yang retak bukan mudah dipulihkan. Dalam sukan, seperti dalam politik juga, jalan pintas, cuba bertindak play safe akan membawa padah.

Sepanjang 2025, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga berdepan cabaran besar iaitu harga makanan, isu bekalan, kebergantungan import, dan rungutan petani serta nelayan. Usaha memperkukuh keterjaminan makanan memang ada projek pelan jangka panjangnya.

Namun bagi rakyat biasa, hasilnya tidak nampak. Harga barang tetap tinggi. Petani kecil masih mengeluh. Nelayan terus tertekan. Kelajuan dan kesan dasar yang belum benar-benar sampai ke dapur rakyat walaupun Datuk Seri Mohamad Sabu sering dilihat sering turun padang. Tetapi itulah dalam kementerian yang hasilnya diukur setiap hari melalui harga nasi dan lauk, kesabaran rakyat adalah cabaran besar.

Kementerian Kesihatan pula (KKM) berada di posisi unik. Ia antara kementerian paling penting dan dipandang tinggi rakyat tetapi pada masa sama juga paling tertekan.

Isu utama 2025 bukan lagi wabak atau kecemasan kesihatan awam, tetapi keletihan sistem. Gaji doktor dan jururawat yang dianggap tidak setimpal dengan beban kerja, waktu bertugas panjang, serta peluang kerjaya terhad menyebabkan ramai pegawai perubatan memilih untuk meletak jawatan atau berhijrah ke sektor swasta dan luar negara.

Rakyat menyokong doktor dan jururawat kerana hospital awam menjadi pilihan utama di negara ini walaupun terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan, tetapi kerajaan pula berdepan kekangan struktur lama. Ini yang perlu diubah. Ini yang harus diperjuangkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Walaupun ada penambahbaikan elaun dan usaha penyerapan jawatan tetap, realitinya sistem kesihatan awam semakin tidak relevan dan meletihkan. Jika dibiarkan, boleh menjadi krisis.

Antara pencapaian utama Kementerian Kewangan pula adalah usaha berterusan mengawal defisit fiskal dan menstruktur semula perbelanjaan negara.

Naratif ‘wang negara tidak mencukupi’ mungkin klise, tetapi realitinya hutang kerajaan dan bayaran faedah memang mengehadkan ruang untuk bergerak.

Dalam konteks ini, keputusan untuk meneruskan rasionalisasi subsidi, termasuk subsidi petrol, adalah sesuatu yang hampir tidak dapat dielakkan. Subsidi pukal selama ini bocor, tidak efisien dan lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi. Dari sudut ekonomi, pembetulan ini masuk akal walaupun dianggap langkah tidak popular

Ada kementerian yang melangkah baik. Ada yang perlu berubah segera. Pada rakyat, segala kritikan yang dihamburkan seharusnya dijadikan sebagai ‘kompas arah’ bukan dianggap peluru sesat. Namun satu perkara jelas, prestasi mereka sentiasa dinilai. Portfolio bukan zon selamat. Menteri dinilai bukan pada banyaknya cakap dan banyak bersalaman dengan orang, tetapi tindakan yang menjaga kebajikan dan periuk nasi rakyat.

Rombakan Kabinet menjelang tahun 2026 baru-baru ini satu langkah yang dilihat sebagai respons kepada keperluan menyesuaikan strategi pentadbir untuk meyakinkan dan mendapat kepercayaan rakyat dalam masa setahun lebih lagi berbaki untuk Pilihan Raya Umum ke-16.

Dalam tempoh menuju PRU16, setiap kementerian perlu menjadi ‘juara’ di hati rakyat. Bukan ‘sendiri buat dasar, sendiri puji’ atau lebih banyak mengeluarkan kenyataan kontroversi, memainkan sentimen agama dan kaum daripada bekerja.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN