Import makanan cecah RM93.8 bilion, meningkat 19 peratus

Import makanan cecah RM93.8 bilion, meningkat 19 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap Kadar Sara Diri (SSR) bagi komoditi pertanian terpilih negara menunjukkan pengukuhan ketara, namun Malaysia masih berdepan kebergantungan tinggi terhadap import makanan apabila nilai import mencecah RM93.8 bilion pada 2024, meningkat 19.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, SSR berperanan sebagai indikator utama keterjaminan bekalan makanan negara apabila nilai yang tinggi menunjukkan pengeluaran tempatan mampu memenuhi permintaan domestik.

“SSR yang mencapai 100 peratus atau lebih menggambarkan keupayaan negara mencapai sara diri bagi sesuatu komoditi serta keberkesanan strategi peningkatan produktiviti sektor agromakanan,” katanya.

Mengulas kebergantungan import, Mohd. Uzir berkata, Kadar Kebergantungan Import (IDR) kekal tinggi bagi beberapa komoditi asas, sekali gus mendedahkan negara kepada risiko gangguan rantaian bekalan global.

Katanya, negara masih bergantung kepada import bagi daging kambing dan bebiri dengan IDR 92.1 peratus serta daging lembu dan kerbau sebanyak 83.5 peratus, selain buah-buahan beriklim sederhana seperti epal serta bahan masakan utama termasuk bawang putih dan bawang besar akibat kekangan kos serta faktor agroekologi.

“Namun, penurunan IDR bawang kecil di bawah paras 100 peratus buat pertama kali disifatkan sebagai petanda awal kejayaan dasar peningkatan pengeluaran domestik menerusi penyelidikan varieti dan insentif kepada pengeluar tempatan.

“Ia membuktikan Malaysia berpotensi untuk terus memperkukuh kapasiti pengeluaran domestik sekiranya intervensi dasar dilaksanakan secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata, dalam subsektor tanaman, prestasi pengeluaran pada 2024 mencatatkan perkembangan positif apabila sembilan jenis buah-buahan dan lapan jenis sayur-sayuran terpilih merekodkan SSR melebihi 100 peratus.

Antaranya ialah betik sebanyak 142.4 peratus, kacang buncis (122.8 peratus), tomato (113 peratus) dan bayam (107.1 peratus).

Katanya, beberapa komoditi berimpak tinggi masih mencatatkan SSR rendah, termasuk cili sebanyak 35.8 peratus dan mangga sebanyak 20.6 peratus, sekali gus menunjukkan keperluan intervensi dasar yang lebih bersasar bagi menjamin kestabilan bekalan.

“Bagi subsektor ternakan, daging itik sebanyak 129.9 peratus serta telur ayam dan itik sebanyak 107.0 peratus kekal melebihi tahap sara diri penuh sejak 2020, manakala SSR daging ayam hampir mencecah 100 peratus pada 92.9 peratus.

“Dalam subsektor perikanan pula, empat daripada 15 spesies utama mencatatkan SSR positif iaitu siakap sebanyak 123.0 peratus, tuna sebanyak 108.3 peratus, ketam sebanyak 100.5 peratus dan patin 100.0 peratus,” katanya.

Sementara itu, indikator Penggunaan Per Kapita (PCC) menunjukkan beras kekal sebagai makanan ruji utama rakyat Malaysia dengan kadar ketersediaan 75.7 kilogram setahun bagi setiap penduduk, diikuti kelapa sebanyak 26.8 kg setahun), durian 15.6 kg setahun dan nanas sebanyak 11.3 kg setahun.

Ketersediaan daging ayam mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 5.6 kilogram setahun kepada 54.9 kilogram setahun pada 2024, manakala telur ayam dan itik merekodkan 24.2 kilogram setahun serta daging babi 15.9 kilogram setahun.

Bagi komoditi perikanan, ikan kembung mencatatkan PCC 5.1 kilogram setahun, diikuti udang sebanyak 4.5 kilogram setahun dan kekal sebagai pilihan utama pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN