KUALA LUMPUR: Hanya 18 peratus bakal jemaah haji dalam giliran membuat keputusan menangguhkan tawaran bagi musim haji 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, setiap kekosongan akibat penangguhan akan diganti serta-merta melalui senarai permohonan rayuan dalam aplikasi THiJARI, sekali gus memastikan kuota haji rasmi dimanfaatkan sepenuhnya setiap tahun.
Katanya, kuota tahunan rasmi negara yang diberikan Kerajaan Arab Saudi adalah seramai 31,600 jemaah sentiasa dipenuhi 100 peratus setiap tahun.
“Tahun ini, Lembaga Tabung Haji (TH) menerima lebih 84,000 permohonan rayuan mengerjakan ibadah haji,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Zulkifli menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai jumlah pendeposit TH yang menolak tawaran menunaikan haji dan apakah alasan penolakan.
Zulkifli berkata, penangguhan penerimaan tawaran menunaikan haji bukan atas faktor kewangan bakal jemaah semata-mata, sebaliknya turut berpunca daripada faktor peribadi yang menyumbang kepada 31 peratus penolakan, selain 20 peratus akibat soal kesihatan.
“Bagi mengurangkan risiko pembatalan saat akhir, TH mengeluarkan peringatan awal kepada bakal jemaah melalui SMS, e-mel, media dan THiJARI supaya persediaan kesihatan dilakukan lebih awal, selain memastikan penilaian istita’ah (kemampuan) kekal ketat supaya hanya jemaah benar-benar bersedia ditawarkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan prestasi jumlah deposit di TH terus menunjukkan peningkatan kepada RM93.35 bilion setakat bulan lalu berbanding RM75.9 bilion pada 31 Disember 2020. – UTUSAN










