PETALING JAYA: Golongan muda kini menjadi sasaran utama aktiviti penipuan melalui telefon dan platform digital dengan jumlah kerugian mencecah RM715 juta.
Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 8,789 orang individu berusia 21 hingga 30 tahun paling ramai menjadi mangsa penipuan jenayah telekomunikasi dalam tempoh Januari hingga November lalu.
JSJK Bukit Aman dalam kenyataan berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 28,698 kes jenayah tersebut telah dilaporkan di seluruh negara.
“Kumpulan umur 31 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah mangsa kedua tertinggi iaitu 6,825 mangsa diikuti golongan berusia 41 hingga 50 tahun melibatkan 4,977 mangsa.
“Selain itu, seramai 3,382 individu berusia 51 hingga 60 tahun turut dilaporkan menjadi mangsa manakala 2,763 orang direkodkan dalam kalangan warga emas berusia lebih 60 tahun,” menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook JSJK di sini hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, kumpulan umur 15 hingga 20 tahun pula mencatatkan 1,962 mangsa.
“Situasi ini membuktikan bahawa jenayah telekomunikasi memberi kesan kepada semua lapisan umur dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan,” jelasnya. – UTUSAN







