‘Galakan anak jadi penulis bukan untuk glamor’ - Utusan Malaysia

‘Galakan anak jadi penulis bukan untuk glamor’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira, sedar anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 16, berkemungkinan menerima lebih perhatian umum selepas mula menceburi bidang penulisan buku.

Namun menurut Erra, hakikat itu bukan sesuatu yang asing buat Aleesya kerana sejak dilahirkan,anaknya itu sudah terbiasa hidup dalam lingkungan perhatian disebabkan latar belakang ibu bapanya yang bergelar selebriti.

“Dari sudut perhatian orang ramai, sebenarnya sejak lahir lagi dia sudah biasa hidup dalam suasana itu. Di sekolah pun dia membawa nama ibu bapa.

“Kadang-kadang memang ada masa anak rasa tak selesa, tapi sebab itulah saya dan dia banyak membina hubungan seperti kawan supaya dia boleh faham dan hadap situasi itu dengan lebih matang,” katanya.

Mengulas kecenderungan Aleesya dalam dunia penulisan, Erra berkata bakat tersebut sudah dapat dikesan sejak anaknya masih kecil, terutama apabila Aleesya lebih gemar meluahkan perasaan melalui tulisan berbanding percakapan.

“Sejak umur sekitar 10 tahun saya sudah nampak dia suka menulis. Dia jenis kurang bercakap, lebih banyak memerhati. Jadi saya galakkan dia luahkan apa saja melalui tulisan. Saya sentiasa menggalakkannya untuk menulis.

“Jika tidak mampu meluahkan melalui percakapan, saya suruh dia tulis semuanya. Sama macam saya. Sebenarnya saya juga tidak boleh membaca skrip orang lain dengan baik selagi saya tidak menulis sendiri, dan saya nampak perkara ini sama pada dirinya. Jadi saya galakkan dia menulis secara konsisten.

“Apabila saya membaca karangannya, saya dapat lihat dia sudah pandai membina jalan cerita, subplot dan plot twist. Itu sesuatu yang sangat baik. Setiap kali dia beri karangan, saya akan beri komen dan cadangan penambahbaikan,”katanya.

Menurut Erra, dia tidak terkejut dengan minat Aleesya dalam bidang penulisan kerana dirinya dan bekas suami, Engku Emran, juga mempunyai tabiat suka membaca sejak dahulu.

“Sebelum wujudnya gajet dan media sosial. saya sendiri suka menulis dan dahulu karangan saya sering dijadikan contoh di sekolah.

“Sebab itu apabila saya nampak bakat itu pada anak saya, saya rasa bertanggungjawab untuk menyokongnya kerana dahulu ibu bapa kita tidak banyak memberi galakan seperti sekarang.

“Jika dia benar-benar berminat untuk menjadi penulis profesional dan menunjukkan tumpuan yang serius, saya tidak menghalangnya.

“Bagi saya, ia boleh dijadikan pendapatan sampingan terlebih dahulu. Pada masa yang sama, dia perlu fokus kepada cita-cita utama seperti menjadi doktor haiwan atau ahli psikologi. Penulisan boleh menjadi sokongan kepada hidupnya,”ujarnya.

ADAB DAN AKHLAK

Tambah pelakon filem Pasrah itu, walaupun menyokong minat anaknya, dia tetap menitikberatkan pemantauan agar setiap langkah dibuat dengan cara yang betul.

“Platform itu boleh ada, tapi cara kena betul. Saya tidak mahu dia terlampau terdedah terlalu awal. Setakat ini kami belum lagi dedahkan dia secara serius dalam dunia hiburan.

“Kalau ada peluang, barulah saya terangkan dan bimbing apa yang perlu dia buat,” katanya.

Dalam masa sama, Erra menegaskan bahawa populariti bukan matlamat utama, sebaliknya lebih memfokuskan soal tanggungjawab serta pembentukan adab dan akhlak anaknya.

Disebabkan itu, kata Erra, apabila ditanya sama ada dia membenarkan anaknya itu menceburi bidang hiburan dengan menjadi pelakon atau pengacara, dia tidak dapat memberikan jawapan tepat.

Menyerahkan keizinan itu kepada bekas suaminya, kata Erra, dia bagaimanapun sebagai ibu, melihat kemungkinan Aleesya mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan sekiranya diasah.

“Setakat ini, tiada mana-mana stesen televisyen yang memanggilnya untuk uji bakat atau program. Kami juga belum mendedahkannya secara aktif dalam bidang pengacaraan.

“Namun jika ada peluang, barulah saya akan terangkan kepadanya apa yang perlu dilakukan. Buat masa sekarang, tiada pihak yang mencarinya dan kami juga tidak mencarinya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN