KUALA LUMPUR: Seorang ejen pinjaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan memperdaya seorang pengurus syarikat sehingga mendorong mangsa meluluskan pinjaman wang berjumlah RM1 juta, Disember lalu.
Tertuduh, Tang Ser Chiew, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, Ser Chiew, 51, didakwa telah memperdayakan seorang lelaki yang juga pengurus syarikat pengurusan acara, D2D Bizhub Sdn. Bhd. bagi mendapatkan pinjaman persahabatan (friendly loan) bernilai RM1 juta daripada syarikat tersebut.
Tertuduh didakwa mengemukakan penyata bank syarikat perabot, Furnish Master Sdn. Bhd. yang tidak sepadan dengan rekod bank syarikat terbabit, sekali gus mendorong pengarah syarikat D2D Bizhub menyerahkan wang pinjaman kepada syarikat berkenaan di sebuah kediaman di Cheras, dekat sini, 5 Disember lalu.
Pengarah syarikat terbabit tidak akan menyerahkan wang berjumlah RM1 juta ke dalam akaun itu sekiranya ia tidak diperdayakan sedemikian.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak memohon jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, peguam bela, Asmawi Ismail memohon jumlah jamin yang lebih rendah memandangkan tertuduh telah disahkan muflis pada 2021.
“Dalam kes ini, peranan anak guam saya hanyalah sebagai ejen dan dia sebenarnya tidak terlibat.
“Oleh kerana anak guam saya merupakan seorang bankrap, adalah mustahil untuk tertuduh membayar jumlah jaminan yang tinggi. Oleh itu, saya memohon jaminan sebanyak RM20,000,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Siti Shakirah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 3 Februari depan. – UTUSAN










