BENTONG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua individu dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bentong–Gombak, minggu lalu.
Lee Kang Foong, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Fakhiza Abu Bakar dan memohon untuk dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa pada 10 Disember lalu kira-kira pukul 8.15 malam memandu sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz dengan cara yang berbahaya kepada orang awam.
Setelah mengambil kira segala hal keadaan termasuk jenis, keadaan, saiz jalan serta kesesakan lalu lintas yang dijangka ada di laluan berkenaan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian dua penumpang sebuah kenderaan lain, iaitu Karmilawati Muhamad Ya’akob, 51, dan Mohammad Nazri Md Salleh, 51.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Adawiah Abdul Wahab yang memohon ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung.
Pendakwaan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan bedah siasat, laporan perubatan serta laporan forensik berkaitan kes berkenaan masih dalam proses lengkap dan akan diserahkan kepada pihak pembelaan sebaik sahaja diterima sepenuhnya daripada agensi terlibat.
Bagaimanapun, peguam bela Young Hiang Siong dari firma guaman Tai and Partners memohon supaya jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan tertuduh memikul tanggungjawab besar menjaga kedua-dua ibu bapanya yang uzur dan mengalami pelbagai masalah kesihatan.
Mahkamah membenarkan Kang Foong diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Februari tahun depan. – UTUSAN









