Dividen Felcra 15 peratus, bayar 2026

Dividen Felcra 15 peratus, bayar 2026

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dividen berasaskan operasi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) bagi tahun kewangan 2025, ditetapkan pada kadar 15 peratus serta dijangka dibayar pada awal tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar dividen itu mencerminkan keupayaan Felcra untuk mengekalkan keuntungan lebih berdisiplin dan pemantauan rapi bagi memastikan koperasi serta anak syarikatnya terus mencatat prestasi mampan tanpa ketirisan.

“Kita mahu koperasi ini terus menjadi contoh terbaik, bukan saja dari segi keuntungan tetapi juga tadbir urus dan manfaat kepada ahli.

“Pendekatan saya adalah ‘hands-on’ dan jika melakukan pemantauan, tidak boleh terburu-buru serta tidak boleh melakukan ketirisan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-43 Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB), di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, prestasi KPFB sebagai anak syarikat membuktikan kekuatan model koperasi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dengan tanggungjawab sosial, selaras prinsip pembangunan inklusif.

Beliau berkata, keutamaan pengurusan diberikan kepada KPFB kerana jumlah ahlinya jauh lebih besar berbanding pemegang saham anak syarikat lain, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

“KPFB bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya turut membina kejayaan perniagaan yang memberi manfaat kepada peserta, komuniti dan keseluruhan ekosistem FELCRA,” katanya.

Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, KPFB telah menyalurkan dividen lebih RM20 juta kepada koperasi-koperasi peserta FELCRA bawah naungannya, dengan prestasi cemerlang yang turut diiktiraf menerusi penganugerahan Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Ahmad Zahid turut mengumumkan elaun kehadiran bagi Mesyuarat Agung Perwakilan KPFB tahun ini ditetapkan sebanyak RM1,000 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, kesetiaan serta peranan aktif perwakilan dalam memperkukuhkan hala tuju koperasi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN