KULIM: Bumbung sebuah stesen minyak runtuh selepas dipercayai dilanggar sebuah treler yang mahu mengisi bahan api dalam kejadian di Sungai Ular, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, treler terbabit dipandu lelaki berusia 24 tahun yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor menghala ke Kuala Ketil di Baling dengan melalui Jalan Serdang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd. Faizal Tengku Yeng berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler itu singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengisi bahan api sebelum membelok ke pam diesel.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba badan treler tersebut telah terlanggar bahagian bumbung stesen minyak menyebabkan struktur itu runtuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Tengku Mohd. Faizal, kejadian turut mengakibatkan kerosakan empat buah pam minyak yang berada di bawah bumbung tersebut.
“Namun, treler terbabit tidak mengalami sebarang kerosakan dan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pemandunya atau orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya. – UTUSAN










