BN akan buat keputusan jika MIC gagal tentukan hala tuju

BN akan buat keputusan jika MIC gagal tentukan hala tuju

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini. -UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) akan membuat keputusan berhubung kedudukan parti MIC sekiranya parti itu sendiri gagal untuk menentukan pendirian sama ada mahu kekal sebagai parti komponen BN atau sebaliknya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini, tiada keputusan muktamad dibuat oleh MIC berhubung kedudukannya dalam gabungan itu meskipun terdapat salinan surat yang tersebar berhubung permohonan semula parti tersebut untuk diterima masuk ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, tindakan MIC itu menimbulkan persoalan mengenai isu kesetiaan memandangkan parti tersebut merupakan antara parti teras dan mempunyai sejarah hampir tujuh dekad dalam BN.

“Setakat ini, keputusan belum dibuat mengenai kedudukan MIC. Kita tahu ada salinan surat yang beredar, ditandatangani oleh kepimpinan parti itu bagi permohonan semula kepada PN. Ertinya, mereka telah menjadi ahli PN dan kini mereka mahu masuk semula.

“Itu sebabnya saya bercakap tentang soal kesetiaan. Jika mereka (MIC) tidak dapat membuat keputusan, kami akan buat keputusan. Kita tidak mahu pagi cakap lain, petang cakap lain, esok lain lagi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti di Seberang Jaya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, MIC pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 telah memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk diteliti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Parti Makkal Sakti ketika ini masih berstatus sebagai parti bersekutu BN memandangkan pindaan Perlembagaan BN belum dilakukan.

“Parti Makkal Sakti sekarang ini adalah ahli bersekutu kepada BN kerana pindaan Perlembagaan belum dibuat. Begitu juga parti-parti lain di bawah Friends of BN.

“Hanya selepas pindaan Perlembagaan dibuat atau perubahan entiti dilakukan, barulah perkara itu boleh dimuktamadkan,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid, sebarang pindaan Perlembagaan BN memerlukan persetujuan semua pihak dan kegagalan satu parti untuk bersetuju boleh menjadi penghalang kepada proses tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN