Anggota tentera cedera latihan payung terjun di Klebang

Anggota tentera cedera latihan payung terjun di Klebang

TENTERA DARAT MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan mengesahkan satu insiden kemalangan melibatkan seorang anggota dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) semasa melaksanakan latihan penerjunan sempena persiapan Pertunjukan Hari Ulang Tahun TDM ke-60 di padang Encore, Klebang di sini.

Dalam kejadian pukul 6.40 petang Ahad lalu, anggota terbabit Koperal Syed Mohd Azayuzil Afifi Syed Mohd Aziz sedang melaksanakan penerjunan bebas bagi sortie kelima.

Menurut kenyataan TDM hari ini, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perubahan arah angin yang berlaku secara tiba-tiba semasa fasa akhir pendaratan, menyebabkan anggota terbabit tidak dapat mendarat dengan sempurna.

“Pegawai perubatan yang berada di lokasi telah memberikan bantuan kecemasan serta-merta sebelum anggota terbabit telah dikejarkan ke Hospital Melaka,” ujar kenyataan itu.

Jelasnya, keadaan Syed Mohd Azayuzil kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan rapi serta pemantauan lanjut.

Justeru katanya, pihak TDM akan menubuhkan lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca terperinci kejadian bagi tujuan penambahbaikan prosedur keselamatan latihan pada masa hadapan. 

“Kebajikan anggota dan keluarganya adalah keutamaan TDM dan pihak kami akan memastikan segala bantuan serta sokongan yang sewajarnya diberikan sepanjang tempoh pemulihan beliau,” ujarnya.

Pihak TDM memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan segera buat anggota tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN