KUALA LUMPUR: Agrobank memperuntukkan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM70,000 menerusi penganjuran Agro Biz Awards 2025 sebagai usaha mengiktiraf dan memperkasa pencapaian usahawan tani tempatan dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sambutan menggalakkan terhadap penganjuran anugerah itu mencerminkan komitmen tinggi usahawan tani dalam memperkukuh sektor agromakanan negara.
Menurutnya, kategori anugerah yang diketengahkan bersifat inklusif dan merangkumi pelbagai latar belakang, termasuk wanita, belia dan orang kurang upaya (OKU), sejajar dengan prinsip tiada sesiapa yang tertinggal.
“Pengenalan kategori inovasi pula bertujuan menggalakkan kreativiti, penyelesaian berasaskan teknologi serta pendekatan baharu dalam operasi perniagaan tani,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Agro Biz Awards 2025, di sini, hari ini.
Menerusi acara itu, Aqina Fruits Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara Agrobank SME of The Year dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Selain itu, Awang Ngah Edar Sdn Bhd muncul juara Agrobank Biz Women Award, manakala Al-Amin Barokah memenangi Agrobank Biz Youth Award dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000.
Vivendi Asset Sdn Bhd pula memenangi Agrobank Biz Innovation Award dengan hadiah RM6,000, sementara Rezeki Ternak Enterprise dinobatkan sebagai juara Agrobank Biz Disability Empowerment Award, turut membawa pulang RM6,000.
Tambahnya, Agrobank turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang tersenarai dalam pencalonan anugerah, selain mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang diumumkan.
“Penyertaan mereka disifatkan sebagai pemangkin kepada semangat inovasi dan pembangunan keusahawanan agro tempatan.
“Melalui platform ini, Agrobank menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong transformasi perusahaan tani, mengetengahkan kejayaan luar biasa usahawan serta memperkasa ekosistem agromakanan negara demi pertumbuhan ekonomi yang mampan dan keselamatan makanan jangka panjang,” tambah beliau.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penggubalan dasar dan pelaksanaan program.
Ujarnya, kerajaan turut menekankan usaha memperkukuh rantaian nilai pertanian, meningkatkan produktiviti, menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi serta memastikan penyertaan inklusif semua lapisan masyarakat dalam sektor berkenaan.
“Dengan inisiatif seumpana ini, ia melengkapkan lagi ekosistem sokongan melalui pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembabitan golongan wanita dan belia, galakan inovasi serta pembukaan peluang ekonomi kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
“Saya yakin melalui sinergi erat antara kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri, sektor pertanian negara akan terus diperkasa sebagai tunjang keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.- UTUSAN










