KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan lelaki itu menghantar anak perempuannya melanjutkan pelajaran ke London, bulan depan.
Hakim Suzana Hussin mengarahkan agar pasport Abu Sahid, 74, dilepaskan dan dikembalikan kepadanya hari ini dan perlu diserahkan semula kepada mahkamah pada atau sebelum 30 Januari 2026.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh melakukan perjalanan ke United Kingdom dari 12 Januari hingga 28 Januari 2026.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memohon supaya mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu melarang Abu Sahid daripada berurusan dengan mana-mana akaun bank miliknya di United Kingdom sepanjang tempoh perjalanan tersebut.
“Pihak kami memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengenakan syarat tambahan selaras dengan peruntukan Seksyen 388 dan 389 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) berkaitan kuasa mahkamah mengenakan syarat tambahan dalam keputusan membenarkan pelepasan pasport,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, Jasbeer Singh Kaura yang mewakili Abu Sahid membantah permohonan tersebut dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengenal pasti keberadaan serta kewujudan akaun-akaun bank berkenaan.
“Di manakah akaun bank itu? Akaun bank yang mana? Berapa jumlah wang di dalamnya? Dalam keadaan ini, adalah tidak adil kepada tertuduh untuk dikenakan syarat sedemikian,” katanya.
Jasbeer berhujah, semua akaun bank Abu Sahid di Malaysia telah dibekukan dan sekiranya syarat tambahan itu dikenakan ia akan menyukarkan tertuduh untuk menampung bayaran yuran pengajian anaknya.
“Sekiranya syarat itu dikenakan, dari mana mereka perlu mendapatkan wang untuk membayar yuran sekolah dan perbelanjaan asas? Bagaimanapun, saya serahkan kepada mahkamah untuk pertimbangan,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah menolak permohonan pendakwaan untuk mengenakan syarat tambahan tersebut.
Pada 8 September lalu, Abu Sahid didakwa dengan lima tuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta milik Maju Holdings di sebuah bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan 10 tuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.
Abu Sahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang yang terbabit, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










