Empat termasuk tentera wanita didakwa tipu pelaburan minyak wangi lebih RM38,000

Empat termasuk tentera wanita didakwa tipu pelaburan minyak wangi lebih RM38,000

EMPAT individu termasuk anggota tentera wanita diiringi polis ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi pertuduhan menipu seorang lelaki melibatkan pelaburan minyak wangi bernilai RM38,400, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang anggota tentera wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan pelaburan minyak wangi tidak wujud bernilai lebih RM38,000.

Empat tertuduh itu ialah Puteri Alisa Nabila Muhammad Razali, 23; yang kini digantung tugas, Mohammad Nazirul Azri Fairus, 29, Mariam Najwa Mahadi, 27, dan Khor Leong Weong, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu Muhammad Adam Haikal Abdul Rahman, 20, yang juga seorang anggota tentera dengan memperdayakannya untuk menyertai pelaburan minyak wangi tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa memindahkan RM38,400 secara dalam talian ke akaun bank milik Mariam Najwa di sebuah restoran di Sentul, di sini pada 2 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan RM50,000 bagi Puteri Alisa Nabila, manakala tiga lagi tertuduh masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira jumlah wang terlibat.

“Pihak pendakwaan menawarkan jaminan tinggi terhadap tertuduh Puteri Alisa Nabila mengambil kira dia merupakan anggota tentera yang berkemungkinan ada risikio untuk melarikan diri kerana dimaklumkan dia telah bolos daripada kerja (lari dari tugas) selama setahun lima bulan empat hari.

“Mahkamah juga boleh menetapkan syarat tambahan supaya kesemua pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela, Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal memohon supaya jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak-anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain tiada rekod jenayah lampau.

“Kesemua tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri kerana mempunyai keluarga dan alamat tetap di sini. Mereka juga sentiasa memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM14,000 bagi Puteri Alisa Nabila manakala wang jamin bagi Mohamad Nazirul Azri, Mariam Najwa dan Leong Weong ditetapkan sebanyak RM7,000 beserta syarat tambahan iaitu penyerahan pasport kesemua tertuduh.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN