PUTRAJAYA: Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan akan diputuskan pada 4 September ini.
Pada 4 April 2021, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan notis untuk membankrapkan Najib atas kegagalannya membayar tunggakan cukai pendapatan termasuk faedah berjumlah RM1,738,804,204.16 (RM1.69 bilion). Jumlah itu merangkumi kos mahkamah sebanyak RM15,000.
Mohd. Nazifuddin pula telah diserahkan notis kebankrapan daripada agensi terbabit pada 30 April 2021 selepas didakwa gagal melunaskan tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.
Najib dan anaknya memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 17 November 2025 yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan itu selepas mendapati tiada sebarang kemudaratan lain yang mewajarkan penangguhan.
Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Najib dan ananya perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Dr Alwi Abdul Wahab yang bersidang bersama-sama Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
Najib dan Mohd. Nazifuddin diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala LHDN diwakili Peguam Kanan LHDN, Norhisham Ahmad.
Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dikenakan taksiran cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion walaupun telah membayar cukai pendapatan.
“LHDN menyatakan bahawa anak guam saya mempunyai tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion seolah-olah Najib mempunyai pendapatan RM8 bilion yang tidak diisytiharkan.
“Sedangkan jumlah yang dipertikaikan merujuk kepada derma daripada Arab Saudi. Derma tidak boleh dikenakan cukai sebaliknya perlu ditolak daripada cukai (tax deductible).
“Kami telah membangkitkan perkara ini sejak awal lagi, tetapi mereka (LHDN) tidak pernah menjawab bagaimana mereka mengira (taksiran cukai tambahan itu),” katanya.
Beliau sehubungan itu memohon mahkamah memberikan penangguhan prosiding kebankrapan sementara menunggu pendengaran di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) supaya Najib dapat mencabar taksiran cukai berkenaan.
Sementara itu, Norhisham bersetuju bahawa jumlah tunggakan tersebut adalah tinggi namun ia bukan alasan yang sah untuk membolehkan prosiding kebankrapan ditangguhkan.
Beliau berkata jumlah yang besar tidak dengan sendirinya merupakan keadaan khas yang mewajarkan penangguhan.
“Undang-undang menetapkan beliau perlu membayar terlebih dahulu dan mempertikaikannya kemudian,” katanya.
Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi yang berasingan membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 hingga 2017.
Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat oleh mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.
LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin politik itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. – UTUSAN










