80 peratus pelajar Cina ikuti pendidikan kebangsaan, usah politikkan UEC - Rafizi

80 peratus pelajar Cina ikuti pendidikan kebangsaan, usah politikkan UEC – Rafizi

Kawalan keselamatan
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga akhirnya berisiko memecah-belahkan masyarakat.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, realitinya UEC hanya melibatkan sebahagian kecil pelajar kerana sebanyak 80 peratus pelajar Cina melalui sistem pendidikan kebangsaan.

“UEC hanyalah satu aliran kecil yang memberi peluang pendidikan tambahan dalam bahasa Mandarin. Isu UEC sering disensasikan oleh ‘politikus’ sebagai isu besar, sedangkan realitinya ia hanya melibatkan sebahagian kecil pelajar.

“Perkara ini perlu dijernihkan supaya UEC tidak terus menjadi isu politik yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya menerusi sebuah audio siar, malam tadi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tuntutan termasuk untuk mengiktiraf UEC tidak boleh meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Beliau berkata, mana-mana tuntutan itu tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan.

Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang menyatakan hasrat bertemu Perdana Menteri bagi meminta kerajaan mengiktiraf UEC.

Mohd. Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, masyarakat tidak boleh menafikan kepentingan bahasa Mandarin kerana ia berpotensi mengatasi bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dalam tempoh dua dekad lagi.

Katanya, generasi muda perlu bersiap sedia menguasai ketiga-tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.

“Dunia sedang bergerak ke arah penguasaan bahasa Mandarin sebagai bahasa ilmu dan perdagangan dan generasi muda Malaysia perlu bersedia menghadapi perubahan ini.

“Kita tidak boleh berpura-pura bahawa Mandarin tidak penting. Kepemimpinan negara perlu mengakui bahawa kita sedang memasuki era masyarakat tiga bahasa.

“Dalam 20 tahun lagi, jika tidak menguasai Mandarin, generasi kita akan menghadapi kesukaran kerana bahasa itu akan mengatasi bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tanpa penguasaan Mandarin, kita akan ketinggalan dalam 20 tahun akan datang. Inilah realiti yang perlu diterima,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN