410 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 80 hari

410 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 80 hari

SEORANG lelaki Palestin mendukung mayat bayi lelaki yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu di sebuah sekolah di kawasan Tuffah, Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 410 rakyat Palestin terbunuh di Semenanjung Gaza dalam tempoh 80 hari sejak perjanjian gencatan senjata.

Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Kerajaan Palestin, jumlah keseluruhan korban kini meningkat kepada 70,945 orang sejak pencerobohan Israel bermula.

“Imej satelit terbaru mendedahkan tentera pendudukan Israel (IOF) masih meneruskan perobohan bangunan secara sistematik di kawasan yang berada di bawah kawalan mereka,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) memaklumkan, aktiviti ketenteraan Israel memuncak antara 22 hingga 23 Disember lalu di beberapa kawasan.

“Antaranya di Gaza Utara, Bandar Gaza, Deir al-Balah, Khan Younis dan Rafah, dengan serangan udara, bedilan artileri, tembakan kereta kebal serta senjata ringan yang mengakibatkan korban jiwa dan kemusnahan besar.

“Hospital Al-Awda di Kem Pelarian Nuseirat terputus bekalan elektrik selepas kehabisan bahan api generator, susulan sekatan ketat Israel terhadap kemasukan bekalan asas,” katanya.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menegaskan keperluan mendesak untuk menguatkuasakan gencatan senjata sepenuhnya serta memastikan aliran bantuan kemanusiaan termasuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan perlindungan disalurkan tanpa sebarang halangan.

Menurut, Program Makanan Dunia (WFP) lebih 100,000 penduduk Gaza masih berdepan tahap ketidakjaminan makanan yang kritikal, walaupun risiko kebuluran berjaya ditangguhkan sementara.

Keadaan menjadi semakin buruk dengan kedatangan musim sejuk apabila Euro-Med Monitor memberi amaran kemungkinan runtuhan ratusan rumah yang rosak teruk akibat ketiadaan tempat perlindungan selamat, selain larangan Israel terhadap kemasukan unit perumahan sementara.

Dalam laporan berasingan, pertubuhan hak asasi Israel, B’Tselem mendedahkan kira-kira 1.9 juta rakyat Palestin atau 90 peratus penduduk Gaza telah mengalami pemindahan paksa sekurang-kurangnya sekali sejak Oktober 2023 dengan kebanyakannya berulang kali.

“Pemindahan paksa ialah alat utama Israel untuk memusnahkan struktur sosial masyarakat Palestin di Gaza, yang disifatkan sebagai satu bentuk genosid,” katanya.

Dalam pada itu, Kesatuan Wartawan Palestin (PJS) melaporkan tahun 2025 sebagai tahun paling berdarah buat pengamal media.

“Israel menyasarkan wartawan secara sistematik termasuk serangan ke atas ahli keluarga mereka bagi mengelakkan pendedahan di lapangan.

“Sehingga kini, sekurang-kurangnya 256 wartawan dan petugas media terbunuh di Gaza, manakala lebih 700 ahli keluarga wartawan turut terkorban sepanjang serangan berterusan Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN